Covid-19 terbukti pelajaran sukar buat guru

 

Kanak-kanak di pusat jagaan kini terbiasa dengan amalan penjarakan fizikal di dalam kelas. (Gambar Tadika New Sun Moon)

PETALING JAYA: Dari taman asuhan kanak-kanak ke universiti, keperluan mengawal kesan Covid-19 ke atas perkembangan pelajar kekal sebagai kebimbangan utama guru.

Januari lalu, Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) melaporkan purata 2/3 daripada tahun akademik lupus di seluruh dunia berikutan penutupan sekolah akibat Covid-19.

Bercakap kepada FMT sempena sambutan Hari Guru hari ini, pendidik menceritakan pengalaman mereka semasa pandemik dan bagaimana mereka terpaksa membuat pengubahsuaian dengan norma baharu.Pengetua taman asuhan kanak-kanak New Sun Moon di Bangsar, Aidelle Pang berkata, pandemik menghalang pelajar daripada mempelajari “kemahiran asas kehidupan” kerana mereka tidak dapat berhubung atau berinteraksi penuh dengan rakan lain.

Menyifatkan pandemik itu sebagai “krisis pendidikan”, katanya, ramai kanak-kanak mendapati pelajaran mereka terganggu, selain kehilangan peluang untuk mengikuti kelas bersemuka di dalam bilik darjah.

Pang mengingatkan dalam jangka panjang, ini akan menyaksikan pelajar kehilangan interaksi sosial yang sangat diperlukan dalam pembesaran mereka.

“Satu-satunya cabaran yang kita hadapi ialah mengurangkan sebanyak mungkin kesan negatif pandemik yang tidak dijangka ini ke atas pembelajaran dan persekolahan mereka.

“Paling penting, kita harus mengambil pengajaran daripada pengalaman ini supaya anak-anak dapat meraih semula semua yang terlepas daripada mereka.”

Guru di SK Convent Ipoh, Agatha Wong (tengah) menunjukkan Anugerah Guru Cemerlang yang diterimanya pada 2019. (Gambar Agatha Wong)

Bagi pensyarah kanan ekonomi di Universiti Malaya, Goh Lim Thye, pendekatan lebih terbuka dan inovatif sangat perlu dalam penyediaan kandungan pelajaran untuk menarik perhatian pelajar dan menilai sama ada mereka mencapai matlamat pelajaran yang dikehendaki bagi setiap subjek.

“Fleksibiliti, inovasi, keterbukaan dan prinsip rahmah merupakan kunci bagi mengatasi halangan yang disebabkan pandemik.

ADVERTISING

“Saya rindu untuk berinteraksi dengan pelajar di dalam kelas serta membantu mereka yang menghadapi masalah dalam memahami kandungan topik hanya dengan melihat ekspresi mereka.”

Goh berkata, beliau tidak pernah meminta pelajar memasang kamera semasa kelas dalam talian kerana sebahagiannya menggunakan pelan mudah alih dengan data yang terhad.

Dalam pada itu, Agatha Wong, guru Bahasa Inggeris Tahun 5 dan 6 di SK Convent Ipoh berkata, cabaran terbesar yang dihadapinya sepanjang tahun lepas ialah memastikan pelajar mempamerkan pencapaian terbaik mereka.

Katanya, “cabaran terbesar” semasa tempoh pasca pandemik masih merupakan pengajaran atas talian melalui aplikasi Google Meet dan Google Classroom, iaitu platform yang mungkin tidak dikuasai semua pelajar.

“Sukar untuk memastikan semua mendapat pengetahuan yang disampaikan, sekali gus mendorong mereka melakukan usaha terbaik.

“Saya berusaha sebaik mungkin dalam memotivasi pelajar dengan berkomunikasi dengan mereka. Saya cuba memberi inspirasi dengan mengemukakan pelajaran dan teladan hidup sebenar.

“Saya berharap untuk membentuk minda muda mereka dan memberi pelajaran berguna yang boleh dimanfaatkan.”

No comments: