MALU APA BOSSKU...MACAI NAJIB PINDAH WANG DANA SRC...

 

Dana SRC dipindahkan oleh 'macai' Najib: TPR

Bernama
Dana SRC dipindahkan oleh 'macai' Najib: TPR
Sithambaram berkata, hanya Najib yang didakwa kerana tidak ada 'niat bersama' antara perayu (Najib) dan tiga yang lain. - Gambar fail/ Astro AWANI
PUTRAJAYA: 'Macai' Datuk Seri Najib Tun Razak, ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low dan dua yang lain membantu mengatur pemindahan berjuta-juta dana SRC International Sdn Bhd ke dalam akaun bank bekas perdana menteri itu, Mahkamah Rayuan diberitahu pada Rabu.
Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Datuk V Sithambaram berhujah demikian di hadapan panel tiga hakim yang diketuai Hakim, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dalam prosiding rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana penyalahgunaan dana SRC International sebanyak RM42 juta.
Dua lagi hakim yang bersidang ialah Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.
Abdul Karim: Mengapa ketiga-tiga mereka, Jho Low, Datuk Azlin Alias (bekas ketua setiausaha sulit Najib), bekas CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) SRC, Nik Faisal Ariff Kamil tidak dituduh bersama dengan Najib atas kes jenayah itu?
Menjawab soalan itu, Sithambaram berkata, hanya Najib yang didakwa kerana tidak ada 'niat bersama' antara perayu (Najib) dan tiga yang lain.
Sithambaram berkata, ketiga-tiga mereka mengikuti arahan yang dikeluarkan oleh perayu yang mempunyai kawalan 'menyeluruh' terhadap SRC.
Beliau berkata, pemberitahuan merah telah dikeluarkan oleh Interpol untuk mengesan Jho Low dan Nik Faisal untuk membantu siasatan kes tersebut.
"Setakat ini, kedua-duanya masih bebas. Yang Arif, kes kita adalah perayu meminta mereka (ketiga-tiga mereka) untuk melakukannya (memindahkan dana SRC ke dalam akaun Najib)," katanya.
Mahkamah Rayuan | Prosiding rayuan Najib masuk minggu ke tiga

Sementara itu, mengenai dakwaan bahawa Jho Low telah memanipulasi akaun bank Najib, Sithambaram berhujah bahawa Najib adalah orang yang 'mempunyai muslihat' untuk menghapuskan kebenaran yang nyata.
"Tidak masuk akal Jho Low menyalurkan wang ke dalam akaun bekas perdana menteri untuk 'menipu' Najib.
"Kami berhujah bahawa tidak masuk akal bagi perayu untuk mengatakan bahawa tindakan Jho Low memasukkan dana ke dalam akaun bank peribadi perdana menteri adalah untuk menipu perdana menteri untuk mempercayai bahawa beliau memiliki dana yang tidak dimilikinya.
"Menyalahkan Jho Low kerana memastikan perayu memiliki dana yang mencukupi dalam akaun peribadinya adalah suatu yang aneh," katanya.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada Najib setelah mendapati beliau bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kedudukan, melibatkan dana SRC sebanyak RM42 juta.
Perbicaraan rayuan bersambung esok.
- Bernama


No comments: