Ramai semakin marah

 

Hari ini, Selasa 20 April 2021, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, diberitakan memohon mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan keputusan atau rumusan perbincangan yang diadakan semalam yang menyokong gesaan agar perintah darurat ditarik balik.

Perbincangan yang dimaksudkan ialah mengenai “darurat dan mudarat ekonomi” anjuran apa yang dikenali sebagai Jawatankuasa Merayu Penamatan Proklamasi Darurat. Ia disertai pakar ekonomi terkenal Muhammed Abdul Khalid, Jomo Kwame Sundaram, dan Nungsari Ahmad Radhi. Khalid ialah pengerusi jawatankuasa berkenaan.

Menurut Khalid, rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang menasihati Agong untuk memperkenankan pengisytiharan darurat bagi mengawal wabak Covid-19.

Bagi Khalid, mereka (kerajaan) telah bertindak atas kepentingan politik dan “amat jelas mereka sanggup mengutamakan kepentingan politik berbanding kepentingan negara dan rakyat jelata”.

Tentu ada yang mengatakan hujah sedemikian “memang dijangka datang” dari seorang ahli politik pembangkang dan Khalid semua maklum ialah pemimpin Amanah, komponen Pakatan Harapan.

Pun begitu, menurut Prof Jomo, di sebalik hampir semua darurat yang pernah diisytihar di negara ini tersembunyi “udang di sebalik batu” bagi mencapai kepentingan tertentu pihak berkuasa. Termasuk perintah yang dilaksana sekarang.

Beliau menghuraikan pelaksanaan darurat sebelum ini dan apa yang beliau maksudkan. Sila Google untuk butiran lanjut.

Bercakap mengenai Covid-19 pula, Jomo menegaskan Malaysia mesti berani mengambil teladan daripada negara lain termasuk negara dunia ketiga yang lebih berjaya dalam menangani wabak ini, dan lantas berkata “Malaysia tidak boleh bodoh sombong dan perlu rendah diri belajar daripada negara negara jiran terdekat termasuk yang lebih miskin dalam soal pengurusan wabak ini”.

Sekali lagi, saya tidak bercadang memperincikan apa yang beliau katakan. Sekadar mencatat pendapat peribadi saya iaitu kerajaan sudah hilang punca atau “has lost the plot” dalam memerangi Covid-19. Tengok sahaja pusingan U demi pusingan U terhadap peraturan dan langkah yang dikenakan. Pada masa yang sama Covid-19 terus mengancam.

Ingat apa kata ahli politik veteran Daim Zainuddin kepada FMT tidak berapa lama dahulu? SOP yang dilaksanakan kerajaan bermaksud “Semua Orang Pening”. Tepat sekali kata-kata beliau.

Bazir peluang

Pada perbincangan semalam, Muhammed Khalid pula melahirkan pendapat kerajaan sepatutnya dapat menangani kesan buruk akibat penguatkuasaan darurat menerusi kepakaran menguruskan ekonomi.

Namun kerajaan Perikatan Nasional, katanya, telah membazirkan peluang untuk memperkenalkan pembaharuan dalam pelbagai bidang ketika darurat.

Dengan bidang kuasa yang ada hasil pelaksanaan darurat, kata Muhamad, kerajaan boleh memperkenalkan pembaharuan dalam bidang penting seperti perlindungan sosial (untuk membantu golongan yang bekerja dalam sektor tidak formal yang terkesan amat teruk), pendidikan, dan sistem percukaian (untuk pastikan harga barang tidak naik) tetapi “tidak dilakukan malah ia diabaikan”.

Kata Nungsari pula, dengan mengisytiharkan darurat, kerajaan sendiri telah menidakkan kemampuan negara untuk berfungsi seperti biasa dan “hal ini telah mengurangkan keyakinan pelabur terutama keyakinan pelabur tempatan sedangkan aspek paling penting untuk memacu ekonomi adalah aspek keyakinan”.

Cukup setakat itu, walaupun panjang lebar apa yang disampaikan ketiga-tiga pakar ekonomi berkenaan pada perbincangan semalam. Bagi saya, kesimpulannya ialah mereka menyatakan perisytiharan darurat adalah untuk kepentingan politik kerajaan dan kerajaan tidak menggunakan kuasa yang disajikan oleh perintah darurat untuk mengambil langkah efektif memerangi wabak Covid-19, di samping memberi isyarat salah kepada dunia.

Lalu ketiga-tiga pakar setuju perintah darurat ini mesti ditarik balik. Ertinya darurat dihentikan segera dan Parlimen bersidang semula.

Sekali lagi, saya katakan, tentu ada yang menuduh ketiga-tiga pakar ekonomi ini pro-pembangkang. Diakui mereka sebelum ini mempunyai hubungan atau berurusan dengan parti pembangkang “in one capacity or the other”. Namun persoalannya ialah adakah apa yang mereka kata ini benar atau tidak?

Itu pandangan pakar. Rakyat biasa pula bagaimana? Pasti kita semua ada pandangan tersendiri serta sudah dan masih dengar kata-kata, rungutan, mahu pun rintihan kawan-kawan dan sanak-saudara.

Saya petik apa yang diucapkan oleh seorang kawan menerusi Facebook: “Apakah ordinan darurat boleh mengekang harga ayam? Dah macam darurat sangat harganya”. Sinis dan tajam. Kita tahu maksudnya.

Satu lagi hantaran di Facebook begini bunyinya tetapi terus-terang saya kata apa yang disenaraikan di sini sudah saya sunting kerana bahasa asal yang digunakan memang keras dan pedas.

Kata si penulis catatan itu, “rakyat tak marah pun tak dapat balik kampung Raya tahun lepas tapi tahun ini semua orang marah. Bukan sikit-sikit. Semua rakyat marah. Sebab apa?

“SOP caca-marba. Artis, VIP, menteri ‘relax’ je boleh rentas negeri pergi sana-sini. Bila rakyat buat kena kompaun. Harga barang melambung tinggi. Menteri ramai satu pun tak boleh pakai. Kerajaan ini mana entah ‘priority’ dia. Darurat macam takde darurat. MP dah dapat dua dos vaksin bila nak buka Parlimen balik?

“Menteri alam sekitar boleh kata Malaysia tak terjejas dengan perubahan cuaca, seminggu lepas itu booom hujan lebat banjir kat KL. Syarikat antarabangsa lari dari Malaysia…kita hilang pelaburan berbilion ringgit.”

Cukup setakat itu walaupun saya boleh panjangkan senarai kemarahan itu.

Lebih penting, apakah persamaan ketara dalam rintihan pemimpin politik, pakar ekonomi, dan rakyat mengenai Darurat Covid-19. Jelas, bagi mereka, darurat ini hanya menambah, bukan mengurang, rasa cemas tentang keadaan negara dari segenap segi.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.


No comments: