Percepat proses vaksinasi, rekrut sukarelawan, guna teknologi kecerdasan buatan bantu pendaftaran

 




POSTED BY AMIR WRLR

Program Imunisasi Coovid-19 Kebangsaan yang lembab mengundang kritikan pelbagai pihak.

Terbaharu, Jawatankuasa Vaksinasi Covid-19 PH mengkritik kelewatan berkenaan dan memberi amaran proses vaksinasi Fasa 2 akan terganggu sekiranya menggunakan keadah yang sedia ada.

Jawatankuasa itu menyarankan Kementerian Kesihatan dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) agar mengambil langkah proaktif yang diperlukan untuk bersedia meningkatkan kadar proses vaksinasi apabila bekalan baharu tiba dalam beberapa bulan lagi

"Kementerian Kesihatan dan JKJAV perlu bersifat proaktif dan meningkatkan persediaan logistik dan pentadbiran mereka pada masa sekarang untuk mempercepatkan dan melancarkan keseluruhan proses pra-vaksinasi, proses vaksinasi, dan proses pasca-vaksinasi dalam Fasa 2 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan serta Fasa 3 yang akan datang.

"Perkara ini perlulah merangkumi program kesedaran melawan kekeliruan, keraguan, dan kebimbangan yang dibangkitkan oleh rakyat. Langkah-langkah perlu diambil termasuklah meningkatkan kadar pendaftaran, terutamanya dalam kalangan golongan yang berisiko tinggi,

memperkasakan pusat khidmat talian untuk menyediakan notifikasi dan proses susulan.

"Lantikan sukarelawan bukan perubatan yang lebih menyeluruh untuk menguruskan hal-hal pentadbiran dan logistik perlu dibuat dalam skala

besar, dan latihan yang berpatutan kepada para sukarelawan mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) perlu disediakan," kata mereka dalam satu kenyataan.



Menurut mereka lagi, biarpun jawatankuasa itu menghargai maklum balas yang diberikan oleh Menteri Koordinasi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin mengenai status semasa program ini, mereka percaya lebih banyak perkara perlu dilakukan untuk mempercepatkan proses, terutama dengan stok vaksin sedia ada untuk merangkumi golongan petugas barisan hadapan dan kumpulan orang yang berisiko tinggi.

"Lebih lambat golongan ini menerima vaksin, lebih lama masa mereka terdedah kepada risiko dijangkiti dan menyebarkan penyakit.

"Pertimbangan utama sekarang perlulah kepada imunisasi dan pelindungan secepat mungkin dengan bekalan sedia ada. Sebagai contoh, kami telah menyeru supaya para guru, terutamanya di zon merah seperti Lembah Klang, Johor, dan Pulau Pinang diberikan vaksinasi dahulu untuk menurunkan kemungkinan sekolah ditutup akibat penularan wabak Covid-19, tetapi sehingga hari ini kita masih belum mendengar sebarang rancangan untuk satu program terancang untuk memberikan vaksin kepada para guru," kata kenyataan itu.

Selain itu, kata mereka, persediaan untuk menerima bekalan tambahan vaksin perlu dimulakan segera, terutama usaha memastikan bekalan sumber manusia mencukupi dalam meningkatkan kadar vaksinasi setiap hari sebanyak empat kali ganda, daripada 40,000 vaksinasi sehari kepada 160,000 vaksinasi seperti yang disasarkan.

Mereka menyarankan sukarelawan bukan perubatan perlu dilantik dan direkrut untuk meningkatkan keberkesanan pusat khidmat talian Covid 19.

"Pusat-pusat khidmat talian ini boleh dibahagikan kepada sektor perubatan yang mengendalikan pertanyaan berkenaan hal-hal kesihatan mengenai vaksin dan sektor bukan kesihatan untuk menguruskan perkara seperti notifikasi dan temu janji.

"Dengan sistem maklum balas dan pertanyaan yang lebih baik serta waktu menunggu dalam talian yang pendek, perkara ini dapat membantu meningkatkan keyakinan terhadap proses vaksinasi dan memastikan semua mendapat temu janji dan memberi maklum balas

dalam tempoh yang diperlukan," kata mereka.

Kerajaan juga disarankan menggunakan teknologi moden seperti chatbot dan kecerdasan buatan secepat mungkin untuk menjawab jumlah pertanyaan yang tinggi dalam Fasa 2.

Semua perkara ini penting, kata mereka, untuk memastikan setiap orang menerima makluman mengenai temu janji mereka dan juga untuk mengatasi masalah mengenai keraguan dalam kalangan rakyat.

Kerajaan juga perlu berusaha keras melengkapkan kadar imunisasi kelompok dalam kalangan rakyat sebelum gelombang keempat melanda

"Kesegeraan vaksinasi amat penting memandangkan Kementerian Kesihatan menjangkakan kedatangan gelombang keempat dalam masa terdekat.

"Wabak ini mungkin akan menyebabkan lebih banyak kerosakan dengan varian-varian baharu yang lebih tahan terhadap vaksin sedia ada, seperti B117 (UK), dan B1351 (Afrika Selatan) yang telah pun dikesan di negara kita. Eropah, Amerika Selatan, Amerika Utara, dan India sedang berhadapan dengan kesan yang lebih buruk yang dibawa oleh varian-varian baharu ini," kata mereka lagi.

Sehubungan itu, Jawatankuasa Vaksinasi Covid-19 PH menegaskan kerajaan tidak boleh hanya menyalahkan pembekal vaksin semata-mata, tetapi juga perlu berusaha untuk mempercepatkan proses sedia ada dan mempersiapkan asas dan rangka kerja untuk memastikan pelaksanaan vaksinasi yang pantas, efisyen dan lancar apabila lebih banyak bekalan diterima

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh YB Dr Dzulkefly bin Ahmad (Kuala Selangor), Dr Lee Boon Chye (Gopeng), Dr Kelvin Yii (Bandar Kuching), Dr Mohd Hatta Ramli (Lumut), Sim Tze Tzin (Bayan Baru), Dr Ong Kian Ming (Bangi), Dr Siti Mariah Mahmud (Exco Kesihatan, Selangor), Dr Norlela Ariffin (Exco Kesihatan, P. Pinang) dan Veerapan Supramaniam (Exco Kesihatan Negeri Sembilan)



No comments: