Petang tadi, saya telah menjamu 75 orang pekerja Jabatan Pengurusan Krisis Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk majlis berbuka puasa.
Mereka merupakan pasukan tindakan kecemasan yang bertugas 24 jam sehari untuk menyelesaikan pelbagai masalah perbandaran yang bersifat 3D - dirty, dangerous, difficult (kotor, berbahaya, sukar).
Kita semua sebenarnya amat amat terhutang budi kepada mereka. Ya betul, mereka bekerja ada gaji, tapi ada berapa orang yang sanggup masuk ke dalam lurang pembentung, meredah parit monsun, merempuh ribut petir tengah malam, memangkas pokok yang tumbang di tengah jalan tak kira waktu, bekerja 24 jam?
Bahkan di bulan puasa ini, kerja tetap jalan seperti biasa.
Saya menyusun sepuluh jari mengucapkan terima kasih yang teramat sangat. Masyarakat kita senang nak sanjung VVIP, tapi bagaimana pula dengan wira-wira tidak didendang ini? Maaflah nak kata, ada Timbalan Menteri cuti dua bulan, rakyat tak rasa hilang apa-apa. Bayangkan kalau pekerja pembersihan kita tak kerja untuk seminggu.
Itulah sebabnya saya gembira kerajaan negeri setiap tahun mencalonkan pekerja 3D kedua-dua majlis bandaraya di Pulau Pinang untuk dikurniakan pingat darjah kebesaran negeri TYT Yang DiPertua Negeri. Mereka layak selayak-layaknya.
Saya berdoa agar pekerja barisan hadapan ini sentiasa dilindungi dalam menjalankan tugasan harian mereka yang penuh cabaran.