SEHARI DUA NI, SAYA BERASA TERAMAT SEDIH…


Dulu mereka kecam Dato' Lee Chong Wei kerana menderma laptop kepada anak-anak orang susah melalui program anjuran pejabat saya, sekarang ada yang nak heret isu kaum dan agama dalam soal kebajikan. Mengapa mereka bersungguh-sungguh nak pecah-belahkan rakyat Malaysia? Mengapa perlu api-apikan sentimen kaum dan agama? Rakyat sudah cukup susah, cukup merana kerana Covid. Ramai yang hilang kerja, gaji kena potong, bisnes gulung tikar. Orang politik yang sudah ada kuasa, mengapa masih mahu membakar negara dengan isu kaum dan agama?

Saya seorang wakil rakyat, tugas saya untuk membantu rakyat susah di kawasan saya tanpa mengira kaum dan agama. Kadang kala, orang susah luar kawasan datang, saya tak sampai hati nak tolak, saya bantu juga sedaya upaya setakat yang mampu. Saya bantu bukan kerana saya

hebat

atau kaya - ramai lagi yang jauh lebih

hebat

dan pandai daripada saya. Jauh sekali keluarga saya boleh dianggap sebagai kaya. Tapi semua ini saya buat demi menunaikan amanah berat yang telah diberi.

Ada yang kata saya hanya bantu Cina, ada pula yang kata saya hanya bantu Melayu. Sungguh sedih mengapa masih ada pandangan begini. Orang yang saya bantu, ada Cina, Melayu, India, bahkan kawan-kawan di Sabah Sarawak sana. Saya tak dapat post semua aktiviti bantuan di sini, tapi saya tak pernah tanya orang yang dibantu itu kaum apa, agama apa, parti politik apa.

Ada yang kata saya ada agenda agama. Mengapa perlu libatkan agama saya? Bagiku agamaku, bagimu, agamamu. Harapan saya ialah, yang Islam jadi Muslim yang lebih baik, yang Kristian jadi Kristian yang lebih baik, yang Buddha jadi Buddha yang lebih baik, yang Hindu jadi Hindu yang lebih baik, kita semua jadi manusia yang lebih baik, nescaya Malaysiaku aman sentosa.

Walaupun saya amat terkesan dengan fitnah dan cemuhan yang dilontarkan, saya tidak akan berhenti berkhidmat. Saya tetap akan bantu semua tak kira kaum dan agama. Ini ikrar saya dulu semasa dipilih sebagai wakil rakyat. Kalau saya gagal, saya tidak berani berdepan rakyat nanti. Lagi menggerunkan, kalau saya gagal, saya akan terkelu di depan Tuhan yang akan menyoal segala perilaku atas amanah yang dipertanggungjawabkan.

Memanah bintang di malam gelita,

Sebutir terjatuh menjadi batu,

Amanah ku tatang dengan air mata,

Khuatir membela diri di Hari Itu.

Steven Sim Chee Keong,

MP DAP Bukit Mertajam

#pHterbaik