Tiada arahan untuk ‘like’, ikut akaun media sosial menteri, kata KKMM

 

Terdahulu, satu tangkap layar dikatakan mengandungi ‘permintaan’ kepada kakitangan KKMM supaya “like” dan mengikuti akaun media sosial Saifuddin Abdullah tular.

PETALING JAYA: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menafikan dakwaan kakitangan kementerian itu diminta “like” serta mengikuti akaun media sosial menteri, Saifuddin Abdullah dan timbalannya seperti yang tular di media sosial.

KKMM dalam kenyataan berkata, tiada sebarang arahan dikeluarkan Saifuddin berkaitan perkara itu.

“Kementerian ini juga sentiasa menggalakkan penyertaan kakitangannya dalam bersama-sama menyokong hebahan maklumat kepada khalayak termasuk melalui platform media sosial,” katanya.

Terdahulu, satu tangkap layar dikatakan mengandungi “permintaan” kepada kakitangan KKMM, termasuk di jabatan dan agensi, supaya “like” dan mengikuti akaun media sosial Saifuddin tular.

Kakitangan juga dikatakan diminta untuk mengikuti akaun media sosial timbalan Saifuddin, Zahidi Zainul Abidin, selain akaun media sosial KKMM, menurut laporan media.

Dalam tangkap layar itu, permintaan itu dikatakan dibuat oleh Unit Komunikasi Korporat yang “dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan pemantauan aktiviti ‘like’ dan ‘follow’ akaun media sosial KKMM”.

Sementara itu, sumber dalaman kementerian itu memberitahu FMT bahawa permintaan itu dikeluarkan kira-kira sebulan lalu.

Menurutnya, ramai kakitangan “marah dan bingung” dengan permintaan itu.

Dalam pada itu, sumber di sebuah badan bawah KKMM mengesahkan kakitangannya menerima peringatan untuk ikut dan “like” pautan media sosial menteri dan timbalannya.

Menurutnya, “permintaan” itu untuk memastikan keberkesanan program kementerian disampaikan kepada rakyat.




No comments: