Anwar Ibrahim: Kenyataan Media Pengerusi Pakatan Harapan, Ketua Pembangkang



KENYATAAN MEDIA - 4 Mac 2021 1. Ahli-ahli Dewan Rakyat Pakatan Harapan menjunjung kasih titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 24 Februari 2021 di mana Yang di-Pertuan Agong telah menzahirkan pandangan bahawa Dewan Rakyat boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Duli Tuanku atas nasihat YAB Perdana Menteri. 2. Kami mengalu-alukan titah Duli Tuanku yang bertujuan menegakkan amalan sistem demokrasi yang berteraskan prinsip Keluhuran Perlembagaan. 3. Maka berikutan titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, nasihat YAB Perdana Menteri kepada Duli Tuanku bagi membendung gejala wabak COVID-19 melalui Pengisytiharan Darurat serta Pemasyuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 perlu sentiasa peka ke atas prinsip tersebut bagi memastikan hak rakyat dapat disuarakan di Parlimen. 4. Kendatipun begitu, kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) semalam bahawa Jemaah Menteri menasihatkan KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku Agong supaya tidak diadakan Sidang Parlimen semasa tempoh Darurat berkuatkuasa, adalah amat menghampakan kerana bertentangan dengan pandangan dan titah Duli Tuanku. Lantaran itu, demi menegakkan prinsip Keluhuran Perlembagaan dan membolehkan Parlimen memainkan peranan yang wajar bagi memastikan semak dan imbang, kami dengan penuh tawadhu’ memohon ihsan dan kebijaksanaan KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku Agong untuk menggunakan wewenang Duli Tuanku. 5. Justeru, selaras dengan kuasa wewenang Duli Tuanku di bawah Seksyen 14 (1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 dibaca bersama Perkara 40 (2) Perlembagaan Persekutuan, kami dengan rendah diri dan seikhlasnya merayu kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku Agong; sekiranya diperkenankan, untuk menitah Sidang Parlimen diadakan dengan kadar segera bagi membentangkan perkara-perkara berikut: (a) Pengisytiharan Darurat serta Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 bagi memastikan prinsip hak asasi manusia, kebebasan masyarakat madani, ketulusan dan kedaulatan undang-undang dapat dipelihara; (b) Keberkesanan langkah-langkah untuk membendung penularan wabak COVID-19 demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat termasuk jadual imunisasi vaksin kepada rakyat; (c) Keberkesanan pelaksanaan Belanjawan 2021 demi memastikan kelangsungan hidup rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana (B40 dan M40); (d) Keberkesanan ikhtiar pemulihan ekonomi negara semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP); 6. Sementalahan itu, pihak kami juga turut menzahirkan penghargaan kepada pihak kerajaan dalam merealisasikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan kepada para wira-wirawati petugas barisan hadapan dalam pengorbanan yang dicurahkan tanpa mengira masa dan penat dalam memerangi wabak COVID-19. ANWAR IBRAHIM


No comments: