PH mohon Agong guna kuasa Perlembagaan titah sidang Parlimen diadakan segera

 



POSTED BY AMIR WRLR


Pakatan Harapan (PH) merayu kepada Yang di-Pertuan Agong menggunakan kuasa Baginda di bawah Seksyen 14 (1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 dibaca bersama Perkara 40 (2) Perlembagaan Persekutuan untuk menitahkan sidang Parlimen diadakan segera.

Menurut Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hujah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan yang menolak dilaksanakan sidang Parlimen baru-baru ini tidak wajar ditegakkan kerana bertentangan dengan pandangan Agong.

"Kami mengalu-alukan titah Duli Tuanku dalam menegakkan amalan sistem demokrasi berteraskan prinsip Keluhuran Perlembagaan.

"Berikutan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, nasihat Perdana Menteri kepada Duli Tuanku bagi membendung gejala wabak Covid-19 melalui Pengisytiharan Darurat serta Pemasyuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 perlu sentiasa peka ke atas prinsip tersebut bagi memastikan hak rakyat dapat disuarakan di Parlimen.

"Kendatipun begitu, kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri bahawa Jemaah Menteri menasihatkan Seri Paduka Baginda supaya tidak diadakan Sidang Parlimen semasa tempoh Darurat berkuatkuasa adalah amat menghampakan kerana bertentangan dengan pandangan dan titah Duli Tuanku.

"Lantaran itu, demi menegakkan prinsip Keluhuran Perlembagaan bagi membolehkan Parlimen memainkan peranan memastikan semak dan imbang, kami dengan penuh tawadhu’ memohon ihsan dan kebijaksanaan KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku Agong untuk menggunakan wewenang Duli Tuanku.

"Justeru, selaras dengan kuasa wewenang Duli Tuanku di bawah Seksyen 14 (1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 dibaca

bersama Perkara 40 (2) Perlembagaan Persekutuan, kami dengan rendah diri dan seikhlasnya merayu kepada Seri Paduka Baginda Tuanku Agong, sekiranya diperkenankan, untuk menitah sidang Parlimen diadakan dengan kadar segera bagi membentangkan beberapa perkara," katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia itu menjelaskan bahawa sidang Parlimen kelak tidak akan membincangkan isu-isu politik atau menggugat keberadaan kerajaan Perikatan Nasional melainkan usaha menangani wabak Covid 19 serta soal pemulihan ekonomi negara.

Menurut Anwar, tiada sebab kerajaan PN gentar menghadapi sidang yang hanya membincangkan kemaslahatan hidup rakyat dan keadaan ekonomi.

"(Kami akan membincangkan) pengisytiharan Darurat serta Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 bagi memastikan prinsip hak asasi manusia, kebebasan masyarakat madani, ketulusan dan kedaulatan undang-undang dapat dipelihara

"(Juga) keberkesanan langkah-langkah untuk membendung penularan wabak Covid-19 demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat

termasuk jadual imunisasi vaksin kepada rakyat

"Keberkesanan pelaksanaan Belanjawan 2021 memastikan kelangsungan hidup rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana

"(Dan) ikhtiar pemulihan ekonomi negara semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," kata Anwar lagi.

Dalam pada itu, Presiden KEADILAN itu juga berkata, Majlis Presiden PH yang bermesyuarat semalam turut menzahirkan penghargaan kepada pihak kerajaan dalam merealisasikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, dan kepada para wira-wirawati petugas barisan hadapan yang berkorban tanpa mengira masa dan penat memerangi wabak Covid-19.

 

No comments: