1
Perkenan Seri Paduka Baginda kepada nasihat Perdana Menteri berkenaan proklamasi darurat pada 12 Januari lalu adalah semata-mata sebagai langkah proaktif untuk membendung COVID-19.
KUALA LUMPUR : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai atas nasihat Perdana Menteri.
Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, perkara ini termaktub di dalam sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan bahawa Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.Katanya, Al-Sultan Abdullah bertitah tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat..
Beliau menegaskan, perkenan Seri Paduka Baginda kepada nasihat Perdana Menteri berkenaan proklamasi darurat pada 12 Januari lalu adalah semata-mata sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19 yang telah meragut lebih 1,000 nyawa setakat ini.
"Seri Paduka Baginda juga mengambil maklum atas hal-hal sampingan berkaitan budaya, warisan serta etika tataperlakuan Ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara semasa melunaskan tanggungjawab berbahas dan bertindak agar sentiasa bersifat mulia dan dipandang tinggi," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.
Baginda bertitah demikian ketika menerima menghadap Speaker Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim dan Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun di Istana Negara hari ini.