Pada 2007, sewaktu saya baru sampai di Melbourne, saya ingat lagi, saya dan rakan-rakan sepasukan menghadiri “BBQ party” dengan sebuah komuniti Melayu.
Ini bukan parti cucuk langit ya, ini aktiviti biasa di perantauan, buat BBQ di mana-mana taman dan berkumpul untuk beramah mesra serta saling mengenali satu sama lain.
Dalam komuniti tersebut, ramai yang melanjutkan pendidikan ke peringkat PhD, kira hebat dan bukan biasa-biasalah. PhD yang saya maksudkan bukanlah “Perasaan hasad dengki”, tetapi ijazah Doktor Falsafah.
Jadi, macam biasa, saya suka “take part in conversation” (melibatkan diri dalam perbualan), walaupun tidak kenal atau baru kenal dengan orang.
Ini kerana saya ingin meningkatkan kemahiran berkomunikasi serta penguasaan bahasa Inggeris saya yang ketika itu di tahap biasa-biasa saja.
Entah bagaimana “our conversation” (perbualan kami) berkenaan kromosom, DNA dan RNA, semua inilah.
Dalam kepala saya, teringat kereta Proton Gen2 di pasaran Malaysia, kita sebut Gen2 sebagai “Jen Tu” kan? Jadi, saya dengan yakinnya menyebut “jen” untuk merujuk kepada “gene” (dalam DNA) dan sebutan saya itu salah.
Sebutan yang betul adalah “jin” (tiada kaitan dengan jin pakai toncet ya, kawan-kawan).
Terus saya diketawakan dua pelajar PhD berbangsa Melayu – yang si perempuan ketawa sambil berpusing ke belakang dan meletakkan tangan ke dahinya.
Yang lelaki pula, acah-acah tersembur air daripada mulutnya yang ketika itu tengah minum air sirap merah. Kedua-keduanya langsung tidak memberitahu saya kesilapan itu dan saya tahu pun selepas ada di antara rakan mereka yang menceritakan kepada saya, setelah kisah tersebut dicanang-canangkan.
Saya langsung tidak sakit hati dan marah kerana saya tahu tahap saya dan saya masih dalam proses belajar. Itulah sikap orang Melayu kita, kawan-kawan yang dikasihi sekalian.
Itu sekitar 2007, kini kita dah masuk era baru 2021, masih ramai dalam kalangan kita yang mempunyai perangai menggelabah seperti itu.
Berbeza pula apabila saya berada dalam kalangan Mat Salleh (orang Barat), bukannya nak puji mereka, tapi akhlak mereka sangat jauh terpuji berbanding bangsa kita.
Banyak kali saya tersilap ketika berkomunikasi, tetapi mereka membantu memperbetulkan kesilapan, sama ada dari segi “grammar” (tatabahasa) mahupun sebutan, dan sebagainya.
Langsung tidak ada yang mentertawakan, memperlekeh, dan jauh sekali memerli. Berdasarkan pengalaman saya, 100% daripada mereka begitu dan belum pernah saya diketawakan mereka kerana membuat kesilapan ketika berkomunikasi.
Dalam kalangan rakan-rakan Mat Salleh saya, ada di antara mereka yang mempunyai “grammar” berterabur juga, walaupun lahir dalam keluarga Mat Salleh.
Ada juga yang tidak fasih mengeja dan mereka siap merujuk saya untuk ejaan; perlu diketahui yang bahasa Inggeris mempunyai terlalu banyak loghat yang berbeza-beza sebutannya.
Pengalaman mengembara di seluruh dunia dan khususnya ketika menyertai Sukan Olimpik, di situ terdapat pelbagai bangsa dari pelbagai negara, malah ada negara yang kita tidak pernah tahu kewujudannya.
Apabila berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, mereka juga mempunyai kesulitan untuk memahami loghat masing-masing, tetapi mereka tetap menghormati satu sama lain dan inilah contoh yang kita perlu pelajari.
Saya bukannya nak mempertahankan mereka yang membuat kesalahan dalam bahasa Inggeris ini, tetapi jangan kita memperlekeh dan merendah-rendahkan orang lain atas sebab itu.
Mereka yang kurang fasih ini juga, nasihat saya jangan bangga kerana anda tidak fasih, tetapi sentiasa cari ruang untuk meningkatkan kemahiran komunikasi anda dan jangan cepat berputus asa.
Mereka yang pandai pula, bantulah mereka yang kurang pandai ini, bukankah ia satu perasaan yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit apabila kita berjaya membantu orang lain?
Jika semua daripada kita mempunyai sikap seperti ini, tidak ada sebab untuk masyarakat kita tidak melangkah maju ke hadapan.
Kalau kita lihat dari segi pembangunan negara, kita sudah tidak jauh untuk mencapai status “developed country” (negara maju), tetapi jika kita lihat dari segi sikap dan mentaliti pula, saya minta maaf, kita masih sangat jauh di belakang.
Minta maaf, minta ampun rakan-rakan sekalian, jika saya ada tersilap kata atau menyakiti sesiapa di luar sana. Saya harap nukilan ini membantu untuk membuka mata masyarakat kita ke arah lebih baik.
Akhir kata, saya kongsikan kata-kata Jackson Brown Junior: “Never make fun of someone who speaks broken English. It means they know another language.” (Jangan ketawakan mereka yang tidak fasih berbahasa Inggeris. Ini bermaksud mereka tahu bahasa lain.)
Azizulhasni Awang adalah jaguh berbasikal trek negara.