Mursyidul Am PAS takut kalah PRU-15, pujuk Bersatu dan UMNO berbaik-baik semula

 


Mursyidul Am PAS takut kalah PRU-15, pujuk Bersatu dan UMNO berbaik-baik semula

Tiada parti Melayu yang akan memperoleh keuntungan sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bukan itu sahaja, kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Hashim Jasin, ia hanya akan merugikan ummah dan dibimbangi boleh menggugat kestabilan politik negara.

Bahkan, lebih malang lagi, perpecahan di antara parti-parti Melayu utama hanya akan memberi keuntungan kepada musuh, sekali gus menyebabkan kerugian baik buat UMNO, PAS mahupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Kita mesti belajar daripada PRU lepas, walaupun masuk bertanding banyak tetapi kemenangan hanya sedikit kerana berlaku pertembungan tiga penjuru.

“Tiada parti akan mendapat keuntungan, PAS, UMNO dan Bersatu semua akan rugi jika berlaku pertandingan tiga penjuru.

“Susah untuk kita mencapai kemenangan, sedangkan kita mempunyai peluang besar jika bersatu,” katanya seperti dilapor Harakahdaily, hari ini.

Tuan Guru Hashim juga berkata, dengan gandingan PAS dan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN), kemenangan mungkin dapat dicapai.

Namun, tegasnya, kekuatan parti Melayu akan makin bertambah dengan kehadiran Bersatu.

“Kita mahukan kemenangan majoriti sehingga kita boleh mengubah Perlembagaan ke arah memperkasakan perundangan Islam.

“Sebab itu PAS beria-ia menyatukan ketiga-tiga parti tersebut walaupun pada peringkat permulaan hanya dengan UMNO, tetapi ke arah untuk mencapai matlamat itu perlu ajak bersama Bersatu,” katanya. 


No comments: