ADAKAH MUHYIDDIN TELAH MEMPERDAYA AGONG BERKENAAN PERLAKSANAAN DARURAT?

 

Yang Di-Pertuan Agong bertitah, Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan perkara itu pada satu kenyataan hari ini.

“Perkara ini termaktub di dalam sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (KuasaKuasa Perlu) 2021 yang menyatakan bahawa Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Agong atas nasihat Perdana Menteri.

“Oleh hal yang demikian, tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen daripada bersidang adalah tidak tepat.

“Perlu ditegaskan di sini bahawa perkenan Agong kepada nasihat Perdana Menteri berkenaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat pada 12 Januari 2021 lalu adalah semata-mata sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19 yang telah meragut lebih 1,000 nyawa setakat ini,” kata kenyataan tersebut.

Kenyataan Istana Negara ini dikeluarkan sejurus selepas Agong berkenan menerima menghadap Speaker Dewan Negara, Dr Rais Yatim dan Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun di Istana Negara.

Dalam sesi menghadap itu, Agong telah menegaskan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi yang berteraskan prinsip keluhuran perlembagaan, setiap cabang pentadbiran negara sama ada pihak eksekutif, kehakiman mahupun Parlimen haruslah sentiasa akur kepada prinsip tersebut.

“Agong juga mengambil maklum atas hal-hal sampingan berkaitan budaya, warisan dan etika tataperlakuan Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara semasa melunaskan tanggungjawab berbahas dan bertindak agar sentiasa bersifat mulia dan dipandang tinggi,” kata kenyataan Istana Negara itu lagi.

Dua perkara paling mudah dapat difahami daripada kenyataan Istana Negara ini.

Pertama, Agong menekankan tentang pentingnya prinsip keluhuran perlembagaan dijadikan pegangan, sesuai dengan amalan demokrasi yang Malaysia amalkan selama ini.

Untuk itu, Parlimen sebagai salah satu cabang dalam sistem demokrasi tidak harus dikecualikan daripada berfungsi, walaupun dalam tempoh darurat, lebih-lebih lagi jika dalam keadaan politik negara yang tidak menentu dan bercelaru seperti sekarang.

Makna kata, dalam situasi kedudukan Muhyiddin dipertikaikan keabsahannya, Agong jelas mahukan Parlimen dibenarkan bersidang bagi menyelesaikan ketidaktentuan yang sudah berpanjangan ini.

Kenyataan Istana Negara tentang Parlimen boleh bersidang dalam tempoh darurat ini juga secara tersiratnya adalah suatu teguran daripada Agong kepada Muhyiddin.

Dalam hal ini, oleh kerana Agong hanya boleh menetapkan tarikh sidang Parlimen setelah dinasihatkan oleh Perdana Menteri, maka Muhyiddin tidak harus lagi ‘sekadar buat bodoh’ atau buat-buat tak tahu saja.

Berdasarkan kenyataan Istana Negara ini, Muhyiddin sebenarnya terikat dengan tanggungjawab moral untuk segera menghadap Agong bagi menetapkan tarikh sidang Parlimen diadakan.

Haruslah disedari, sementara Muhyiddin merupakan ketua kerajaan, tetapi Agong adalah ketua negara serta payung kepada rakyat jelata.

Muhyiddin, dengan ini, jangan sesekali cuba derhaka kepada kebenaran Agong bahawa Parlimen boleh bersidang dalam tempoh darurat dilaksanakan.

Kedua, kenyataan Istana Negara ini dengan jelas menyebut perkenaan Agong terhadap darurat yang dicadangkan oleh Perdana Menteri hanyalah untuk membendung wabak Covid19, bukan dengan tujuan lain seperti untuk melindunginya kuasa daripada dijatuhkan dengan cara menggantung Parlimen atau sebagainya.

Dalam erti kata lain, melaksanakan darurat dengan Parlimen digantung pada waktu yang sama, bukanlah termasuk dalam perkenan yang baginda berikan kepada Muhyiddin sebelum ini.

Jadi, bagaimana Parlimen boleh diumumkan digantung bersekali dengan perlaksanaan darurat?

Adakah ini bermakna Muhyiddin telah memanipulasi atau memperdaya Agong berhubung cadangan darurat yang dipohon perkenannya daripada baginda dengan memberikan alasan untuk membendung Covid19, sedangkan tujuan lain yang lebih besar di sebalik darurat itu ialah menggantung Parlimen demi melindungi kuasanya yang semakin rapuh?

Dengan Istana Negara mengeluarkan kenyataan ini bersamaan dengan tempoh setahun Langkah Sheraton yang memperlihatkan kuasa rakyat dikhianati, Agong terbukti telah memperlihatkan keprihatinan baginda terhadap keadaan negara yang tidak menentu suhu politiknya sejak tempoh setahun yang lalu.

Mahu tidak mahu, Muhyiddin tidak punya banyak pilihan lain lagi kali ini selain akur untuk membenarkan Parlimen bersidang dengan segera. 

(Shahbudindotcom 24/02/2021)



No comments: