Zahid kata lalang tidak boleh dibiarkan lama

 


Zahid kata lalang tidak boleh dibiarkan lama

Bagi Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi lalang yang dibiarkan tumbuh bukan sahaja akan menyebabkan kawasan menjadi semak tetapi juga mencacatkan pemandangan.

Pagi ini beliau mengambil kesempatan untuk menebas lalang yang semakin tinggi di kawasan tempat beliau menanam pokok-pokok bunga.

“Assalamualaikum, sejahtera, selamat pagi sahabat semuanya. Sekali sekali kita turun padang tebas lalang di kawasan rumah.

“Lalang tidak boleh dibiarkan lama-lama. Semakin dibiarkan semakin menyemakkan. Mencacatkan pemandangan walau di mana ia tumbuh. Jika malas boleh racunkan saja,” kata Ahmad Zahid.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, senaman yang sihat dengan mengeluarkan peluh juga dapat dilakukan dengan menebas sendiri lalang-lalang berkenaan.

Katanya, selaku ketua rumah aktiviti membersihkan kawasan rumah itu juha boleh menonjolkan sifat kepimpinan melalui teladan kepada seisi keluarga.

Malah sekiranya kerja menebas lalang boleh dijadikan aktiviti kekeluargaan yang menyeronokkan dengan melakukannya bersama-sama anak dan cucu.

Persekitaran yang bersih boleh melahirkan hati yang bersih dan sekali gus menyemai kasih sayang dan perasaan kebertanggungjawaban antara ahli keluarga.

“Syukur alhamdulillah faktor umur belum menjadi penghalang untuk menebas lalang. Lagipun sejak kecil saya telah biasa diberi tanggungjawab membantu keluarga. Membantu di kebun, membuat kerja rumah dan menjaga adik-adik yang masih kecil.

“Maka menebas lalang bagi saya bukanlah perkara yang tersangat membebankan. Melakukan sendiri kerja-kerja rumah banyak manfaat yang lain,” kata Ahmad Zahid.

Bagaimanapun beberapa pengikut Facebook Ahmad Zahid membaca tulisan Presiden UMNO seolah-olah memberi sindiran kepada pihak tertentu.

Lalang dalam metofora Melayu seringkali dikaitkan dengan orang yang tidak tetap pendirian dan juga mereka yang suka meninggi diri.

“Datuk Seri Zahid Hamidi setuju lalang-lalang liar tu wajib ditebas dan racun sebab boleh datangkan mudarat. Dalam UMNO pun begitu, mana lalang-lalang yang talam dua muka dan ada iras-iras nak lompat pun elok ditebas dan diracun sebelum PRU-15 supaya akar UMNO lebih bersih dan selamat,” kata Sarinah Abdullah.

“Begitu juga kawan-kawan Datuk yang macam lalang tu tebas je. Jangan bagi semak dalam parti UMNO. Eloklah diracun biar mati ke akar umbi,” komen Musharifatun Mus.

“Betul tu DSZH, lalang sebelum jadi virus kepada bunga-bunga yang ada kena tebang. Sebab lalang ini akan merosakan kawan-kawan bunga yang lain,” kata Fauzi Faizal.

“Ke sana ke sini ditiup angin memang lalang tu Datuk Seri. Memang patut ditebas dan kalau nak racun guna roundup …dah tak ada baru lapang mata memandang,” komen Siti Mariyam Nik Hasmar..



No comments: