Wanita KEADILAN ucap tahniah syarikat Malaysia dalam indeks kesaksamaan gender

 


Wanita KEADILAN mengalu-alukan beberapa syarikat Malaysia disenaraikan dalam Indeks Kesaksamaan Gender (GEI) Bloomberg untuk tahun 2021.

Ketua Wanita KEADILAN, Fuziah Salleh berkata, agenda kesaksaan gender itu telah diperjuangkan oleh KEADILAN dan kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) sejak lebih sedekad lalu.

"Saya mengucapkan tahniah kepada Maybank, Bursa Malaysia dan Digi.Com kerana tergolong dalam tiga syarikat dari Malaysia yang tersenarai dalam Indeks Kesaksamaan Gender (GEI) Bloomberg untuk tahun 2021.

"Ketiga-tiga syarikat ini telah diiktiraf di antara 380 syarikat dari seluruh dunia dan merangkumi 44 negara. Pengiktirafan ini penting kerana mencerminkan komitmen terhadap amalan dan polisi berkaitan gender di tempat kerja," katanya dalam satu kenyataan.

Indeks Kesaksamaan Gender, Bloomberg telah menyediakan kerangka kerja bagi syarikat untuk berkongsi prestasi mereka dalam tonggak bakat kepimpinan wanita; kesama-rataan gaji; budaya inklusif; polisi mengenai gangguan seksual, dan penjenamaan pro-wanita. Perkara ini bukan hanya merupakan tonggak terpenting dalam sektor awam dan swasta, tetapi juga di dalam bidang politik.

Manakala KEADILAN sejak sekian lama mempunyai dasar 30% kuota wanita untuk jawatan dan peranan kepimpinan yang turut diperjuangkan dalam pentadbiran negeri.

"Parti Keadilan Rakyat mempunyai dasar 30% kuota wanita untuk jawatan dan peranan kepimpinan, dan ini termaktub dalam perlembagaan parti. Salah satu pencapaian yang membanggakan merupakan peningkatan sehingga 22% Ahli Parlimen wanita yang menang dalam Pilihanraya Umum yang lalu.

"Selangor yang dipimpin oleh Pakatan Harapan, telah hampir memenuhi kuota 30% wanita dalam lantikan Ahli Majlis, melantik seorang wanita sebagai Datuk Bandar, dan seorang wanita sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Diperbadankan (MBI) dan juga Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

"Di Pulau Pinang pula, Kerajaan negeri telah mengumumkan inisiatif baru, "Top-up Women Only Additional Seats (TWOAS) for the State Assembly". Ini adalah usaha yang memberangsangkan dan akan memastikan kuota 30% wanita dipenuhi dalam Dewan Undangan Negeri," katanya lagi.

Menurut Ahli Parlimen Kuantan itu lagi, Wanita KEADILAN akan terus meningkatkan kesedaran mengenai peri pentingnya kepimpinan wanita dan kesan positif budaya demokratik serta inklusif, baik di sektor swasta, sektor awam atau politik.

 

No comments: