BEKAS PEMIMPIN MUSLIMAT DAN BEKAS CALON PAS PAHANG PERBAHARUI SYAHADAH KEISLAMAN

 



Pengasas ajaran ‘Asmaul Husna Wan Maseri’ yang dikatakan menyeleweng daripada amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah tampil mengaku kesalahan dan memohon maaf kepada seluruh umat Islam atas ajaran mengelirukan yang dibawa sebelum ini.

Calon PAS dalam pilihan raya umum (PRU) lalu dilaporkan memperbaharui lafaz syahadahnya selepas didapati menyeleweng daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Dr Wan Maseri Wan Mohd melafazkan kalimah syahadah itu selepas membuat pengakuan dalam mesyuarat panel pakar akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang diadakan di Putrajaya semalam.

Menurut laporan Sinar Harian pengasas ajaran 'Asmaul Husna Wan Maseri' itu mengakui kesalahannya dan memohon maaf kerana mengelirukan orang ramai.

Dia yang juga bekas anggota Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Kuantan, secara terbuka melafazkan syahadah bagi memperbaharui keislamannya.

Melalui pengakuan itu, beliau menjelaskan kenyataannya tentang Nabi Muhammad SAW tidak wujud adalah bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Begitu juga dengan kenyataan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah hijab kita dengan ALLAH, tidak boleh berselawat kepada baginda dan tidak boleh memohon bermimpi baginda juga salah serta bertentangan dengan ajaran Islam.

“Saya juga mengaku bahawa kenyataan tentang semua orang Islam belum Islam selepas kewafatan Rasulullah juga terpesong,” katanya melalui satu kenyataan pada Selasa.

Wan Maseri menjelaskan, kajian 99 Asmaul husna yang dijalankan tidak tepat dengan disiplin perolehan ilmu yang diperlukan syariat.

“Justeru saya menarik balik semua penulisan yang telah tersebar di kalangan masyarakat.

“Insya-ALLAH saya akan mengemukakan penulisan baharu yang akan terlebih dahulu melalui proses perolehan ilmu yang benar di sisi syariat,” katanya.


W.FAUDZIN

 

No comments: