Selain perutusan khas Perdana Menteri, perkara lain yang membuatkan rakyat mula benci ialah sidang media Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkaitan SOP PKP dan pengumuman jumlah kes Covid19 oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Noor Hisham Abdullah.
Ramai yang bukan saja tidak lagi menontonnya, malah tidak kisah pun apa butiran yang diumumkan dalam kedua-dua sidang media harian itu.
Bagi sidang media Ismail Sabri, ramai yang melihat kemunculannya hanya untuk mengumumkan perubahan-perubahan SOP mengikut kepentingan kerajaan sehingga kebanyakan orang jadi pening dibuatnya.
Bak kata Tun Daim Zainuddin, SOP sekarang ini lebih sesuai dipanggil “Semua Orang Pening”.
Mana tidaknya, dalam rakyat biasa dikenakan pelbagai peraturan yang menekan mereka untuk cari makan, orang kayangan dan menteri-menteri semacam bebas dan kebal saja melanggarnya.
Ismail Sabri pula, juga merupakan orang kayangan, langsung dilihat tidak pernah berbunyi mengenai beberapa menteri yang jelas melanggar SOP itu.
Jadi, SOP yang berubah-ubah ini untuk kepentingan rakyat biasa atau bagi menyelesakan lagi hidup orang kayangan?
Semalam, dengan SOP diubah untuk kesekian kalinya iaitu membenarkan pergerakan melebihi 10 kilometer tapi rentas negeri dan daerah masih dihalang, tetapi ramai dilihat tak kisah pun tentangnya.
Beberapa rakan dalam komunikasi media sosial berkata, mereka tidak ambil peduli pun apa SOP atau peraturan yang diumumkan kerajaan kebelakangan ini.
Ketika diberitahu sekarang ini sudah boleh bergerak melebihi 10 kilometer, ada yang berkata, “lantaklah…selama ini pun kami bebas saja berkereta melebihi jarak tersebut”.
Mereka juga tidak peduli sama ada SOP terbaru ini berkesan untuk mencegah Covid19 atau menunjukkan kerajaan tidak benar-benar serius untuk membendung Covid19.
Yang kami sedar kini PKP ini, tambahan lagi darurat, hanya alat untuk melindungi kuasa saja, tambah mereka.
Begitu juga dengan sidang media Noor Hisham, angka-angka kes baru, kes pulih dan jumlah kematian yang diumumkan beliau setiap hari tidak lagi memberi kesan mengejut atau mengujakan kepada orangramai.
Kenaikan angka yang mendadak secara tiba-tiba, kemudian menurunnya juga tiba-tiba membuatkan rasa curiga mula melanda.
Kerap pula, entah kebetulan atau memang sudah takdir Tuhan sejak azali lagi, angka yang diumumkan itu sama turun naiknya dengan suhu politik negara.
Kalau panas suhu politik, naiklah angka Covid19 yang diumumkan tapi kalau politik agak reda dan tiada riuh rendah mahu mengambil alih kuasa, angkanya pun turun tiba-tiba.
Lantaklah…mereka tengah ada kuasa, kata seorang pakcik yang kebetulan ditemui ketika sama-sama menikmati kopi di waktu pagi.
Lebih membuatkan rakyat jadi tak peduli dengan angka Covid19 ialah berikutan pengakuan Noor Hisham sendiri bahawa penurunan kes yang diumumkan kebelakangan ini adalah disebabnya kurangnya ujian saringan yang dijalankan.
Makna kata, angka menaik sebelum ini adalah disebabkan semata-mata banyak ujian saringan yang dijalankan.
Ternampak di sini, seperti kata yang biasa diungkapkan oleh orang Indonesia….segalanya bisa diatur-atur Pak!!
Gambaran paling mudah difahami ialah rakyat sekarang sudah begitu benci kepada kerajaan dan Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri.
Semua perkara yang dilihat ada kaitan untuk melindungi kedudukan Muhyiddin, pasti disitu ada kebencian yang bercambah dan makin merata hari demi hari.
Yang ada masa dan suka meluahkan perasaan, mereka akan meluahkannya di mana-mana sehingga mengadu dalam FB Istana Negara atau memanjangkannya sejauh ke laman sosial Presiden Indonesia.
Kalau Muhyiddin melawat Amerika, pastilah luahan kebencian akan turut sama membanjiri laman media sosial Sang Presidennya juga.
Namun, oleh kerana ramai yang lain tiada kuasa untuk berbuat apa-apa, hanya buat tak kisah saja pilihan yang mereka ada sehingga waktu yang ditunggu benar-benar tiba.
Rakyat yang mula tidak kisah ini ada di mana-mana – di kota, di desa, di taman perumahan dan di mana saja di sekeliling kita – yang pasti ia adalah petanda mereka hanya menunggu masa untuk bangkit dan menghukum kerajaan yang ada ini.
(Shahbudindotcom 17/02/2021)