Batal perjalanan 10km tidak bantu kurangkan Covid-19, patut perbanyak saringan berskala besar, kata Boon Chye

 

Langkah terbaik yang sepatutnya dilakukan kerajaan ialah meningkatkan keupayaan saringan kontak rapat kes positif dalam tempoh 48 jam dan melakukan saringan berskala besar, kata Boon Chye.

PETALING JAYA: Tindakan kerajaan menukar pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) kepada PKP bersyarat (PKPB), dan PKP pemulihan (PKPP) membabitkan beberapa negeri termasuk membatalkan arahan larangan pergerakan dalam radius 10km bagi semua kawasan itu bukanlah langkah terbaik mengekang penularan wabak Covid-19.

Bekas timbalan menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, kelonggaran itu akan mendedahkan lagi orang ramai kepada jangkitan Covid-19.

“Saya faham dalam keadaan ini isu ekonomi juga patut dijaga dan dipertimbang,” katanya kepada FMT.

Boon Chye berkata, pelaksanaan PKP dan PKPB ketika ini nampaknya tidak mampu memberi kesan pantas dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Malah langkah terbaik yang sepatutnya dilakukan kerajaan ialah meningkatkan keupayaan saringan kontak rapat kes positif dalam tempoh 48 jam dan melakukan saringan berskala besar.

“Kalau kita tidak ada kedua-dua keupayaan ini apabila ada jangkitan tinggi kita tak boleh kawal.”

Jelasnya, apa yang dimaksudkan dengan saringan kontak rapat adalah apabila ada kes baharu biasanya ia akan menjangkiti 5 hingga 10 orang. Jika tidak diasingkan mereka ini akan menjangkiti 100 malah 1,000 lagi orang dan seterusnya lebih ramai lagi.

Disebabkan itu, katanya untuk mengekang penularan berterusan perlu ada keupayaan mengasingkan kontak rapat dalam tempoh 48 jam.

“Seterusnya kita perlu ada keupayaan melakukan saringan berskala besar. Kalau ada sahaja kes misalnya dalam komuniti, PKPB atau PKPD boleh dilaksanakan di kawasan tersebut sebagai contoh melakukan saringan besar-besaran di taman perumahan,” katanya.

Beliau turut memberikan beberapa contoh negara luar yang berjaya mengekang penularan semula Covid-19 dengan mengutamakan dua langkah itu antaranya New Zealand dan China.

“Mereka tidak perlu tutup macam kita sampai sekarang tidak habis-habis sejak 13 Jan PKP 2.0 dilaksana hampir lima minggu kes tak selesai,” katanya.

Beliau yakin, Malaysia mampu melakukan pengesanan kontak rapat dengan pantas malah boleh melakukan saringan antara 100,000 sehingga sejuta sehari jika menggunakan kaedah betul.

Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan menambah jumlah kakitangan KKM secepat mungkin bagi menampung keupayaan tenaga kerja dalam mengekang penularan Covid-19 khususnya bahagian kesihatan awam tanpa perlu melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang memakan masa terlalu lama.

“Pengambilan harus serta-merta, ambil mereka yang menganggur, lepasan universiti, bakal-bakal doktor atau jururawat yang belum dapat penempatan, atau ambil mereka yang hilang kerja secara kontrak untuk membuat pengesanan saringan, buat analisis data dan sebagainya,” katanya.

Kerajaan memutuskan untuk membatalkan arahan larangan pergerakan dalam radius 10km bagi semua kawasan di bawah PKP, PKPB dan PKPP. Bagaimanapun larangan rentas negeri dan daerah bagi semua negeri masih dikekalkan.



No comments: