Ahli Parlimen PKR pertikai sumber kewangan selepas Rina selesaikan hutang lebih RM1 juta

 

Ahli Parlimen PKR Fahmi Fadzil membangkitkan bayaran hutang Rina Harun berjumlah RM1.3 juta.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen PKR Fahmi Fadzil hari ini secara tidak langsung mempertikaikan keupayaan kewangan menteri pembangunan wanita keluarga dan masyarakat Rina Harun yang berjaya melunaskan hutang berjumlah lebih RM1 juta kepada sebuah syarikat penerbitan filem dan televisyen berpangkalan di Paris.

Memetik senarai pengisytiharan aset menteri Kabinet berkenaan bagi 2019, Fahmi berkata di Facebook bahawa Ahli Parlimen Titiwangsa itu mengisytiharkan gaji bulanan RM34,004.48 dan aset sebanyak RM72,000.

Fahmi ng juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, jika tiada perubahan dalam gaji bulanan Rina antara Jun 2018 hingga Feb 2021, keseluruhannya sepatutnya berjumlah RM1,122,000.

Tambahan beliau turut mengambil kira pemotongan gaji dua bulan untuk Tabung Covid-19 seterusnya bererti gaji Rina sepatutnya hanya RM1,054,000.

“Apapun, tahniah Rina Harun,” katanya merujuk kepada kejayaan menteri berkenaan melunaskan hutangnya.

Rina yang juga mengetuai sayap wanita PPBM, diserahkan notis kebankrapan kerana hutangnya dengan syarikat Sarl Novovision yang mencecah RM1,340,642.02 setakat 17 Nov 2020.

Terdahulu, peguam Mark Ho Hing Kheong yang mewakili Sarl Novovision berkata jumlah tepat dihutangkan, yang enggan didedahkannya, telah dilunaskan minggu lalu.

“Kami menerima cek pada Rabu yang diluluskan keesokannya,” katanya ketika dihubungi FMT.

Pernyataan tuntutan terhadap Rina difailkan pada 8 Nov 2018 oleh firma Perancis itu dengan jumlah penuh perlu dilunaskan sebelum 31 Julai 2019.

Tuntutan itu melibatkan beberapa filem, rancangan komedi serta dokumentari yang dijual kepada tiga syarikat di mana Rina adalah pengarah.


No comments: