NAK SEKOLAHKAN UMNO, PAS PUN BEREBUT JUGA DUNIAWI DAN KUASA SERTA KEDUDUKAN..APA BEZANYA PARTI YANG HANYA TUNGGANG AGAMA UNTK KUASA DAN KEPENTINGAN SENDIRI ?

 


Panas! Anak Razman ‘sekolahkan’ Saarani , isu PAS ‘main dua kolam’

Panas! Anak Razman ‘sekolahkan’ Saarani , isu PAS ‘main dua kolam’

YAB Datuk MB yang kami hormati lagi kami muliakan,

Maafkan saya atas pencelahan ini, sekadar menyatakan pandangan dan meluahkan suara hati sebagai ahli bawahan PAS.

Bukan sekadar dua tiga kolam.

Malah melalui wadah PAS ini kami mahu bawa semua manusia ke kolam telaga kauthar di Akhirat kelak.

Mengenai strategi penyatuan ummah, kami memang nampak ianya agak sukar untuk direalisasikan dalam konteks politik.

Kerana politik bermakna merebut kuasa, jawatan, kedudukan dan keuntungan duniawi. Memenangi konflik politik bermaksud merampas kuasa dari satu kumpulan atau entiti dan memberikannya kepada kumpulan lain.

Umum memahami bahawa politik konvensional itu ialah, sebagaimana yang ditakrifkan oleh Lenin, siapa boleh buat apa kepada siapa (Who could do what to whom).

Ataupun menurut ahli sains politik, Harold Lasswell, ialah siapa dapat apa, bila dan bagaimana (who gets what, when and how).

Sedangkan berebut harta pusaka pun boleh menyebabkan putus saudara, berebut sempadan tanah pun boleh menyebabkan sesama jiran bermasam muka, sekadar nak lalu jalan melalui tanah dia pun ada yang tak beri kebenaran, inikan pula nak berkorban kuasa politik untuk serah ke orang lain.

Dalam kes kekosongan kerusi di Parlimen Gerik sahaja, maklumat sampai kepada kami, tidak kurang 10 orang UMNO yang melobi untuk menjadi calon. Kalau dalaman UMNO pun berlaku perebutan untuk jadi calon maka adakah UMNO sanggup untuk beri laluan kepada parti lain untuk bertanding?

Mampukah UMNO mahupun PAS berkorban kepentingan untuk melepaskan kerusi yang menjadi gelanggang tradisi pertandingan sejak 14 kali pilihan raya?

Dalam persaingan politik Machiavelli tiada sahabat setia yang boleh dipercayai untuk kita korbankan kepentingan kita untuk dirinya.

Yang ada hanyalah rakan kongsi kepentingan bersama. Selagimana wujud kepentingan yang menguntungkan selagi itulah kontrak perniagaan akan diteruskan.

Kami ahli PAS hatta rakyat biasa pun nampak, sekiranya BN lebih menguntungkan UMNO dan dengan BN sahaja UMNO boleh kembali berkuasa, apa perlunya UMNO kepada gabungan lain?

Permainan dan percaturan politik di negeri Perak pun kita semua dapat baca; BN mahu bertanding 27 kerusi daripada 59 kerusi, PAS 3 kerusi, manakala selebihnya 19 kerusi dikatakan akan dirunding dan dibahagi-bahagikan.

Selepas itu hanya 3 kerusi sahaja diperlukan untuk BN mencukupkan majoriti mudah bagi memerintah Perak secara bersendirian. Justeru sekiranya berada dalam kolam MN sekalipun, PAS tetap akan melepas, atau setidak-tidaknya, berada di pinggiran.

Ingat, politik itu siapa dapat apa, bila dan bagaimana. Sifir mudahnya, apabila BN boleh bentuk kerajaan negeri selepas PRU-15 dengan majoriti yang cukup, maka kek kuasa tidak perlu dipotong lebih kecil.

Buat apa berkongsi dengan orang bila boleh bolot seorang?

Dan sekiranya matlamat PAS hanya sekadar untuk mengejar kuasa semata-mata, adalah lebih untung PAS terjun ke kolam BN terus daripada berendam dalam kolam gabungan parti setahun jagung yang tidak kuat dan tiada akar umbi.

Tapi PAS ada pendiriannya sendiri, iaitu elak pertembungan 3 penjuru, kukuhkan MN dan pertahankan PN.

Dan ahli PAS dipesan supaya wala’ dengan keputusan parti di samping menghormati keputusan parti rakan.

Kami faham pimpinan UMNO tersepit dengan situasi yang amat sukar dan mencabar untuk membuat keputusan, antara mengikut desakan suara akar umbi, menjaga maslahah parti dan menjaga maslahah umat yang jauh lebih besar daripada parti.

Sejak awal lagi kami semua sedar, formula pembahagian kerusi antara UMNO dan PAS sendiri pun, tanpa mengira parti-parti lain, adalah agak sukar untuk disepakati.

Itu dalam konteks persaingan politik.

Walau bagaimanapun, konsep penyatuan ummah ini masih boleh berlaku dalam konteks kemasyarakatan.

Kami generasi muda mahu tamatkan episod tragedi konflik politik kepartian sempit dalam masyarakat kita sejak zaman tok nenek kami.

Tanpa mengira parti, kerjasama, gotong-royong, kenduri-kendara sesama penduduk kampung boleh dijalankan dengan baik. Aktiviti kemasyarakatan boleh berjalan dengan mesra penuh rasa ukhuwwah.

Projek, tender, bantuan dan sumbangan diagihkan secara adil kepada yang berhak, tidak kira warna dan lambang parti. Semua pihak rasa puas hati dan terbela.

Waktu pilihan raya, masing-masing dengan pilihan masing-masing untuk memilih mana-mana calon yang dirasakan layak untuk menjadi pemimpin.

Habis sesi memilih pemimpin, kita kembali hidup harmoni atas semangat penyatuan ummah dan muafakat nasional.
.
.
.

YAB Datuk,

Kami ahli PAS ditarbiah untuk tidak gentar menghadapi kalah menang dalam pilihan raya.

PAS menang pilihan raya, kami berkhidmat cara ada kuasa.

PAS kalah pilihan raya, kami teruskan khidmat kepada rakyat sebagai pembangkang.

PAS sudah biasa bergerak sebagai pembangkang, dan PAS juga ada pengalaman yang lama memerintah beberapa negeri.

In sya Allah, di dunia PAS tidak rugi, selagimana niat perjuangan kami lil-LAHI TA’ALA, kerana ALLAH, untuk kebaikan negara dan ummah, untuk tinggikan kalimah ALLAH.

Lirik lagu PAS tersemat di hati kami:
Bergeraklah ke medan jasa,
Kalah menang bukan alasannya,
Sucikanlah niat di hati,
Hingga nyata benarnya janji RABBI.

Yang lebih merisaukan kami ialah, apabila melepas rahmat dan redha ALLAH serta syurga di Akhirat kelak.

(مَّن كَانَ یُرِیدُ ٱلۡعَاجِلَةَ عَجَّلۡنَا لَهُۥ فِیهَا مَا نَشَاۤءُ لِمَن نُّرِیدُ ثُمَّ جَعَلۡنَا لَهُۥ جَهَنَّمَ یَصۡلَىٰهَا مَذۡمُومࣰا مَّدۡحُورࣰا ۝ وَمَنۡ أَرَادَ ٱلۡـَٔاخِرَةَ وَسَعَىٰ لَهَا سَعۡیَهَا وَهُوَ مُؤۡمِنࣱ فَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ كَانَ سَعۡیُهُم مَّشۡكُورࣰا ۝ كُلࣰّا نُّمِدُّ هَـٰۤؤُلَاۤءِ وَهَـٰۤؤُلَاۤءِ مِنۡ عَطَاۤءِ رَبِّكَۚ وَمَا كَانَ عَطَاۤءُ رَبِّكَ مَحۡظُورًا ۝ ٱنظُرۡ كَیۡفَ فَضَّلۡنَا بَعۡضَهُمۡ عَلَىٰ بَعۡضࣲۚ وَلَلۡـَٔاخِرَةُ أَكۡبَرُ دَرَجَـٰتࣲ وَأَكۡبَرُ تَفۡضِیلࣰا)
[Surah Al-Isra’ 18 – 21]

Maksudnya:
18- Sesiapa yang menghendaki (kesenangan hidup) dunia, KAMI akan segerakan kepadanya dalam dunia apa yang KAMI kehendaki, bagi sesiapa yang KAMI kehendaki; kemudian KAMI sediakan baginya neraka Jahannam (di akhirat kelak), untuk membakarnya dalam keadaan yang hina lagi tersingkir dari rahmat Allah.

19- Dan sesiapa yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal-amal yang baik untuk akhirat dengan usaha yang layak baginya, sedang dia beriman, maka mereka yang demikian keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya.

20- Tiap-tiap golongan dari keduanya, golongan dunia dan golongan akhirat KAMI hulurkan kepada mereka dari pemberian TUHANmu (wahai Muhammad); dan tiadalah pemberian TUHANmu itu tersekat (dari sesiapapun).

21- Lihatlah bagaimana KAMI lebihkan sebahagian dari mereka atas sebahagian yang lain (dalam rezeki pemberian KAMI itu) dan sesungguhnya pemberian di akhirat lebih besar tingkatan-tingkatan perbezaannya dan lebih besar tambahan-tambahan kelebihannya.

Semoga ALLAH subhanahu wa ta’ala memberikan taufiq hidayah kepada YAB Datuk dan seluruh pimpinan umat Islam. – FB

No comments: