Tubuh Kerajaan segera, ketepikan fahaman politik kepartian

 Tubuh Kerajaan segera, ketepikan fahaman politik kepartian

Pemuda AMANAH Perak mengikuti perkembangan politik Perak dengan rasa penuh bimbang apabila semua pihak khususnya parti-parti politik masih memikirkan survival politik masing-masing daripada kepentingan rakyat.

Sejak usul undi percaya terhadap YAB Menteri Besar Perak, Dato Seri Ahmad Faizal Azumu ditolak pada Jumaat lalu dan menyaksikan beliau terpaksa meletakkan jawatan, keadaan politik menjadi tidak menentu di negeri ini.

Kami ingin mengingatkan bahawa, kebanyakan negeri-negeri dan di persekutuan, pembentangan dan perbahasan Belanjawan untuk 2021 telah dan sedang berjalan tetapi di negeri Perak, kita terpaksa menunggu kepimpinan baharu dibentuk sebelum Belanjawan ini dapat dibentangkan.

Dengan baki tinggal beberapa hari lagi sebelum kita masuk ke Tahun 2021, rakyat negeri Perak masih belum tahu apa perancangan untuk negeri dan program kepada mereka lebih-lebih lagi dalam tempoh sukar menghadapi kesan pandemil Covid-19 ini.

Pemuda AMANAH Perak ingin menyeru kepada semua pihak khususnya parti-parti politik agar segera menyelesaikan kemelut ini dan segera membentuk kerajaan di negeri ini agar pentadbiran dan khidmat kepada rakyat diutamakan.

Segala pilihan dan formula terbaik yang ingin dicapai bagi membentuk kerajaan seharusnya mengenepikan segala pertimbangan politik kepartian yang memberi kesan kepada pentadbiran negeri.

Justeru, sekiranya penjajaran baru merupakan pilihan terbaik untuk memastikan pentadbiran negeri ini stabil dan boleh membawa manfaat kepada rakyat, parti-parti politik yang terlibat seharusnya berlapang dada dan segera mengambil langkah tersebut demi memastikan kebajikan dan tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat negeri ini dapat terus dilaksanakan.

KHAIROL NAJIB HASHIM

Ketua Pemuda
AMANAH Negeri Perak

No comments: