UMNO MASIH ‘MUKA TAK MALU’, BERSATU LEBIH ADA ‘AIR MUKA’


 Susulan kemelut politik di Perak, UMNO dan Bersatu mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi pada waktu yang hampir sama malam tadi.

Dalam mesyuarat tersebut, UMNO antara lain memutuskan agar kerajaan PN di Perak yang melibatkan UMNO, Bersatu dan Pas hendaklah terus dikekalkan.

Dalam erti kata lain, bermakna UMNO, walaupun telah bertindak menjatuhkan seorang Menteri Besar daripada Bersatu, namun masih mengharapkan parti itu menyokong mereka membentuk kerajaan negeri yang baru.

Lebih mudah untuk difahami lagi, UMNO nampaknya masih “bermuka tak malu” mengharapkan lagi kerjasama Bersatu di sebalik mereka telah bertindak memalukan parti tersebut.

Tapi, berbeza dengan keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu di mana mereka tidak menyebut langsung untuk terus bekerjasama dengan UMNO, tetapi khusus memberi penekanan melibatkan kedudukan Bersatu dan Pas serta gabungan PN saja.

Apa yang lebih Bersatu tekankan, sebarang keputusan yang akan mereka ambil, ia akan mengambil kira ketetapan bersama rakan-rakan gabungan PN, khususnya Pas.

Malah untuk mengekalkan kestabilan politik di Pusat dan Perak, Bersatu hanya mahu memperkukuh hubungannya dengan Pas melalui PN semata-mata.

Lebih jelas, ternampak yang menjadi keutamaan Bersatu ialah gabungan PN dan hubungannya dengan Pas, bukannya kedudukan kerajaan PN yang turut ada UMNO didalamnya.

Dengan tidak menyebut sama sekali untuk terus bekerjasama dengan UMNO, selain menunjukkan Bersatu amat kecewa dengan UMNO, Bersatu terlihat lebih mempunyai “air muka” berbanding UMNO.

Setelah dimalukan oleh UMNO, Bersatu kini hanya ingin terus menambat hati Pas agar terus bersama mereka.

Yang penting, sebarang keputusan yang akan diambil Bersatu adalah ketetapan bersama parti itu dengan Pas.

Di mana UMNO dalam hubungan “cinta tiga segi” ini?

Dengan semakin berjaya menambat hati Pas, Bersatu tidak mustahil sedang merancang sesuatu untuk terus mengenepikan UMNO.

 (Shahbudindotcom 08/12/2020)



No comments: