MENUNGGU PELUANG DAN KEUNTUNGAN PERIBADI, BUKAN BERJUANG UNTUK UMMAT

 

Terhimpit antara sekutu, PAS mesti tunggu peluang terbaik, kata penganalisis



Pemimpin parti Ahmad Zahid Hamidi, Muhyiddin Yassin dan Abdul Hadi Awang, sekutu dalam Muafakat Nasional. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik berkata PAS, yang terhimpit antara sekutu Umno yang keberatan dengan PPBM, akan terus mengambil pendekatan “tunggu dan lihat” daripada menyebelahi mana-mana pihak.

Tetapi jika terpaksa memilih, parti Islam itu akan berpihak kepada PPBM, kata bekas ahli akademik Universiti Teknologi Malaysia, Azmi Hassan. PAS pragmatik dan sedar sepenuhnya mereka memerlukan sekutu untuk pilihan raya akan datang.

“Pendekatan tunggu dan lihat mereka amat berkesan setakat ini dan saya percaya status quo sesuai dengan mereka. Mereka akan lebih cenderung untuk berpihak kepada PPBM kerana rundingan kerusi akan lebih mudah, dan pertembungan kerusi akan menjadi minimum.”

Azmi Hassan.

Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan juga berkata, jelas PAS mahu ketiga-tiga parti itu bersatu. PAS juga sedar PPBM lebih memerlukan mereka berbanding Umno, yang sanggup bergerak sendiri.

“Jadi PAS akan mempunyai lebih banyak pengaruh dengan PPBM kerana mereka memerlukan rakan politik yang kuat terutama jika mereka perlu berdepan Umno,” kata Azmi. Kebergantungan PPBM kepada PAS bermaksud PAS dapat memiliki suara lebih besar dalam politik dan pentadbiran, dan akan memperkuatkan kewibawaan parti itu dalam kalangan pengundinya.

Azmi berkata, beliau percaya PAS akan mempunyai peluang lebih baik jika bekerjasama dengan Umno bukannya PPBM, tetapi ia bukan pertimbangan utama parti itu. Pada masa sama, katanya, selalu ada ruang untuk berdamai bagi PAS dan BN sekiranya mereka bertembung dalam pilihan raya.

“Tetapi pemimpin PAS mesti tahu, jauh di sudut hati mereka, mereka lebih kuat dengan Umno,” katanya.

Bridget Welsh.

Bridget Welsh dari Universiti Nottingham Malaysia percaya secara idealnya, PAS tidak mahu memilih antara Umno dan PPBM tetapi lebih cenderung memilih PPBM kerana meletakkan parti itu dalam kedudukan lebih besar melalui akses kepada kuasa persekutuan.

Beliau berkata, jika BN memilih untuk tidak bekerjasama dengan Perikatan Nasional, PPBM memerlukan PAS “lebih dari sebelumnya” untuk jentera pilihan raya mereka.

“(Tetapi) secara idealnya, PAS mahu semua orang bersama kerana ini untuk keuntungan mereka. Mereka sedar perpaduan antara parti politik Melayu adalah kekuatan bagi mereka. Ini sebahagiannya mengapa terdapat banyak penekanan terhadap naratif menyatukan semua orang bersama.”



No comments: