GANDINGAN BERSATU DAN PAS BUKAN SAJA BOLEH TOLAK SHARANI, MALAH BILA2 MASA BOLEH JATUHKAN MB UMNO

 

Dalam mesyuarat Majlis Tertingginya semalam, Bersatu membuat pendirian sebarang keputusannya mengenai penubuhan kerajaan baru di Perak akan dibuat bersama dengan Pas.

Ini bermakna, dengan Bersatu mempunyai 5 Adun dan Pas 3 Adun, gabungan kedua-duanya memiliki jumlah 8 Adun kesemuanya.

Walaupun besar kemungkinan Bersatu akan menerima pembentukan kerajaan baru itu nanti, tetapi bersamanya parti itu dengan Pas dalam ketetapannya memberi erti suatu keadaan yang bahaya dan tidak selamat buat UMNO.

Bersama UMNO yang mempunyai 25 Adun, persetujuan Bersatu yang bergabung dengan Pas dengan sendirinya memperlihatkan kerajaan baru boleh dibentuk semula berdasarkan gabungan tiga parti itu mempunyai jumlah 33 Adun daripada 59 Adun keseluruhannya.

Dengan berpadunya Bersatu dan Pas dalam kerajaan baru itu nanti, setidak-tidaknya dua bahaya sedang menanti UMNO:-

Pertama, Bersatu dan Pas boleh berkeras menolak calon Menteri Besar yang telah diputuskan UMNO, Sharani Mohamad.

Hujah bahawa Sharani telah mengetuai dan merancang pengkhianatan untuk menjatuhkan Ahmad Faizal Azumu atau Peja boleh saja menjadi alasan yang cukup kuat bagi Bersatu dan Pas untuk sepakat menolak Adun Kota Tampan itu.

Penolakan Bersatu dan Pas itu tentu saja akan membuatkan Sharani terhalang daripada mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak.

Sebagai tawar menawar, Bersatu dan Pas boleh pula meletakkan syarat bahawa sokongan mereka hanya akan diberikan untuk membentuk kerajaan baru jika Adun UMNO selain Sharani yang dinamakan sebagai calon Menteri Besar.

Keadaan ini mungkin akhirnya membuka peluang kepada Adun Pangkor, Zambry Abdul Kadir atau Adun Rungkup, Shahrul Zaman Yahya untuk dinamakan sebagai calon baru Menteri Besar Perak.

Kedua, melalui penggabungan Bersatu dan Pas itu juga akan mejadikan mereka sebagai “king maker” dalam kerajaan baru yang diterajui UMNO nanti.

Melalui 8 kerusi daripada 33 kerusi yang membentuk kerajaan negeri, Bersatu dan Pas bukan saja boleh menuntut pengagihan jawatan yang seimbang dalam pelbagai posisi, malah bila-bila masa boleh meletakkan Menteri Besar dalam ugutan mereka.

Kalau Menteri Besar UMNO enggan tunduk kepada kemahuan mereka, tidak mustahil nantinya sokongan akan ditarik dan akan menyebabkan jatuh lagi kerajaan negeri.

Akhirnya, meskipun melalui usul undi percaya yang dirancang berjaya membuatkan UMNO menduduki kerusi Menteri Besar Perak yang diidam-idamkan, pergantungan nyawa talian hayat tetap kepada Bersatu dan Pas.

Paling malang, mungkin ini akan membuatkan Sharani terlepas rezeki sekali lagi untuk menjadi Menteri Besar Perak, setelah sebelum ini dikhabarkan sudah tiga kali ditimpa nasib yang sama.

 (Shahbudindotcom 08/12/2020)



No comments: