Menimbang penjajaran semula politik Malaysia

 



Jika ada satu tema besar buat politik Malaysia sekarang, tentu sekali adalah apa yang kita panggil sebagai penjajaran semula politik – political realignment.

Ia menghiasi tajuk-tajuk perbincangan, dengan latar cerita seperti percubaan Anwar Ibrahim merampas Putrajaya dan kejatuhan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu atau Peja di DUN Perak.

Kerja-kerja penjajaran semula politik yang berkait dengan keadaan hari ini sebenarnya telah bermula sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 lagi, dan kerana penjajaran semula politik tersebut, Barisan Nasional (BN) tumbang sebagai Kerajaan Persekutuan buat kali pertama dalam sejarah negara.

Sehingga jam tulisan ini dikarang, penjajaran semula politik kita masih belum habis. Masih jauh dari selesai. Malah, mungkin baru masuk pusingan kedua.

Penjajaran semula politik ini bukan perkara yang baru berlaku. Ia bukan suatu perkara asing dalam amalan politik kita. Ia sudah berlaku sejak sebelum Merdeka lagi.

Ketika British masih memerintah, apabila Malayan Union ditolak, ia jadi tanda awal kemelesetan kuasa politik British di sini. Untuk membetulkan keadaan, British ambil keputusan untuk membenarkan negara ini ditadbir sendiri anak tempatan.

Kemerdekaan dianugerahkan buat Tanah Melayu. Kuasa politik kini diserahkan kepada Umno yang lebih dipercayai berbanding parti-parti nasionalis dan kiri Melayu lain.

Dunia baru sedekad meninggalkan perang besar, England sendiri masih sedang dibangunkan semula, maka punca ekonomi ketika itu lebih berat nilai pertimbangannya berbanding politik.

Dari situ, British telah melakukan sebuah penjajaran semula – melepaskan kuasa politik, agar mereka masih dapat mengawal punca ekonomi untuk sedekad dua lagi. Langkah yang sama turut diambil di banyak jajahan-jajahan lain.

Begitu juga apabila Parti Perikatan hampir kehilangan kuasa; kalah undi popular dalam Pilihan Raya Umum 1969, dan melalui tempoh-tempoh getir sehingga tercetus rusuhan kaum.

Tun Razak yang menggantikan Tunku Abdul Rahman tidak punya banyak pilihan selain menghimpunkan rakan dan seteru dalam politik termasuk parti-parti berhaluan kiri seperti Gerakan dan Parti Progresif serta Parti Islam Se-Malaysia, diikuti kemudiannya oleh parti-parti lain dari Borneo.

Langkah ini melahirkan BN, dan mereka menang semula dengan lebih selesa dalam pilihan raya seterusnya.

Itu juga penjajaran semula, antara paling besar dalam sejarah politik kita. Hasil penjajaran besar tersebut, BN muncul sebagai kuasa politik paling utuh di rantau ini untuk tempoh yang sangat lama.

Di Indonesia hari ini, penjajaran semula juga turut menjadi latar kepada politik mereka. Tamat pemilihan presiden yang lepas, Presiden Jokowi membentuk sebuah Kabinet yang sama sekali jauh bezanya dengan kabinet yang pernah dibina beliau pada 2014.

Jika 2014 menyaksikan sebuah Kabinet yang menghimpunkan wajah-wajah segar, reformis yang tidak lahir dari rahim elit politik Jakarta, yang dipanggil media sebagai outsider atau orang luar; kabinet hari ini adalah kabinet yang langsung bertentangan dengan Kabinet outsider 2014 Jokowi.

Bukan sahaja Prabowo yang ditumpaskannya turut diangkat sebagai Menteri Pertahanan, malah watak-watak yang terkenal sebagai elit dan pembesar politik Jakarta mula menghiasi Kabinet Jokowi.

Anak-anak pembesar politik, adik beradik pemimpin parti politik dan persatuan-persatuan massa menjadi pilihan Jokowi.

Dalam erti kata lain, ada pertimbangan besar yang sedang dibuat Jokowi sehingga mengambil posisi yang jauh terpesong dari nilai yang digalasnya selama ini.

Hasil dari penjajaran semula politik Jokowi ini masih belum dapat ditelah sepenuhnya, namun yang jelas ia sekarang membuka kembali penentangan dan kritik terhadap kerajaan seperti zaman Orde Baru dahulu. Jalanan di Jakarta sendiri mulai terbakar semula.

Politik itu resminya sentiasa berubah-ubah, dinamiknya mengikut rentak sama ada masyarakat pengundi mahupun elit-elit politik.

Penjajaran semula politik akan sentiasa berlaku, hatta dalam kalangan orang-orang yang paling berprinsip, misalnya parti-parti kiri dalam politik Malaysia.

Gerakan menyertai BN, Parti Rakyat Malaysia bergabung dengan Parti Keadilan Nasional untuk membentuk Parti Keadilan Rakyat, atau Parti Sosialis Malaysia bertanding sebagai calon Pakatan Rakyat.

Kecil atau besar, apa sahaja percaturan politik yang berlawanan dengan nilai-nilai asal entiti politik tersebut, dengan tujuan mencapai sebuah maksud yang lebih besar, boleh kita anggap sebagai sebuah penjajaran semula.

Tidak perlu diingatkan juga bagaimana Pakatan Harapan (PH) menyerap masuk kumpulan yang memberontak dalam Umno – termasuk musuh tradisi paling ketat Pakatan, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menimbang baik buruk penjajaran semula politik selalunya perlu disandarkan kepada maksud besar yang ingin dicapai. Tidak semestinya setiap yang dicapai melalui penjajaran semula itu bersifat kekal dan akan sentiasa membuahkan hasil seperti yang pernah dicapai BN.

Tinggal lagi seperti berjudi, jika besar taruhannya, besar juga habuannya. Kadangkala jika gagal, besar pula kerugiannya.

Ada juga yang membandingkannya dengan penjajaran roda kenderaan. Mahu tidak mahu, memang perlu sentiasa dibuat agar kenderaan dapat dipandu lebih baik, malah dapat mengelakkan kerosakan lain yang bakal lebih merugikan.

Tidak dapat dipastikan kalau penjajaran semula politik boleh diperbandingkan sedemikian. Politik tidak mudah untuk diibaratkan seperti kenderaan – ada kompleksiti yang tidak boleh sewenangnya diabaikan.

Politik adalah perkumpulan manusia, bukan mesin. Misalnya, apa berlaku dengan nilai, prinsip, ideologi, atau rencana-rencana entiti politik itu sendiri?

Penjajaran semula politik selalunya melibatkan kompromi dan pengorbanan nilai. Pasti ada yang perlu diubah atau langsung ditinggalkan.

Apakah memang kita memerlukan penjajaran semula yang sedang setiap hari dibincangkan ini? Apa maksud besar yang ingin dicapai oleh kita sehingga kita sedia menelan setiap gelap dan hitam yang bakal hadir bersama dengan rencana penjajaran semula ini?

Benar bahawa kita sendiri bukan sempurna baik sifatnya – kita semua adalah pemain politik, pencatur kuasa. Setiap hari kita hanya mengumpul dosa politik.

Namun persoalannya, apakah memang ada keperluan, dan berbaloikah penjajaran semula ini? Atau kita hanya sedang keliru dan masih mabuk dibelai enaknya kuasa semalam?

*ADAM ADLI, bekas pelajar UPSI yang pernah aktif bersama gerakan mahasiswa hampir sedekad yang lalu. Beliau kini bergerak bersama Liga Rakyat Demokratik sebagai Pengerusi bagi sidang 2020-2022.