Tak patut Guan Eng disoal siasat di ambang Krismas, kata Najib

 

PETALING JAYA: Walaupun beliau musuh seterunya, Najib Razak malam ini tampil membela Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Najib berkata polis harus menggunakan pertimbangan wajar dan tidak memanggil bekas menteri kewangan itu untuk disoal siasat sehari sebelum beliau menyambut Krismas.

“Ini tidak patut. Buatlah (siasatan) minggu pertama tahun depan. Jangan bagi modal kepada mereka (DAP) untuk menghasut rakyat,” kata Najib di facebooknya.

Petang tadi, Lim berkata polis melancarkan satu lagi siasatan terhadapnya berhubung dua kenyataan yang dibuat pada 2019.

Lim berkata, polis memaklumkan peguamnya Gobind Singh Deo, yang juga Ahli Parlimen Puchong, bahawa mereka mahu menyoal siasatnya.

“Saya mungkin akan bertemu polis pada hari Khamis, (Ini) “hadiah” Krismas daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN),” kata Lim.

Lim yang juga bekas ketua menteri Pulau Pinang tidak menyatakan kenyataan mana yang disiasat polis namun mendakwa ia “tindakan penganiayaan politik (terbaru) oleh PN”.

Beliau menuduh kerajaan PN menyalahguna agensi penguatkuasaan terhadap pembangkang.



No comments: