ANWAR BUKAN GAGAL.CUMA BELUM BERJAYA


 Dalam kenyataan bersama Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng minggu lalu, gambarannya adalah mereka seolah-olah sudah putus asa dengan usaha Anwar Ibrahim untuk mengambil alih semula kerajaan.

Sehubungan itu, mereka mahu usaha tersebut, terutamanya melalui sokongan Ahli-Ahli Parlimen UMNO, dihentikan saja.

Mohamad Sabu dan Guan Eng juga mengingatkan Anwar dan PH agar tidak lagi berharap kepada Ahli Parlimen kerajaan untuk mengembalikan mandat yang dikhianati itu kerana mereka itu hanyalah opportunis yang menggunakan PH untuk kepentingan diri mereka semata-mata.

Sebaliknya, Presiden Amanah dan Setiausaha Agung DAP itu menggesa PH mencari persamaan dalam kalangan parti pembangkang untuk membentuk kerjasama lebih luas bagi menghadapi PN dalam PRU15 akan datang.

Dalam erti kata lain, bagi Mohamad Sabu dan Guan Eng, usaha Anwar selama 9 bulan ini telah gagal dan tidak mungkin boleh berjaya lagi.

Oleh itu, mereka berpendapat, lebih baik diperluaskan hubungan sesama pembangkang untuk menghadapi PRU akan datang daripada terus mengejar bayang-bayang.

Benarkah begitu?

Jika diperhalusi, Anwar bukan gagal dan belum juga gagal, jauh sekali hanya mengejar bayang-bayang.

Pada peringkat awal, dalam majlis mengadapnya kepada Agong, beliau telah membawa surat sokongan Zahid Hamidi dan Najib Razak serta beberapa SD, selain sokongan sedia ada daripada Ahli-Ahli Parlimen PH sendiri untuk membentuk kerajaan baharu.

Ia sepatutnya disusuli dengan majlis mengadap ketua-ketua parti berkenaan terhadap Agong, tetapi meskipun pada peringkat awal, jadualnya telah ditetapkan, ia kemudian ditangguhkan kerana menularnya semula Covid19.

Dengan tiada majlis mengadap ketua-ketua parti itu, sokongan yang Anwar persembahkan kepada Agong telah beliau miliki tidak dapat diterjemahkan.

Seterusnya selepas itu berlaku beberapa isu lain yang memungkinkan keadaan berubah, termasuk pembentangan Belanjawan 2021 yang mana di peringkat akhir atau bacaan kali ketiga, ia kemudian diluluskan dengan undian 111-108.

Undian itu ditafsirkan oleh banyak pihak, termasuk tidak terkecuali oleh Mohamad Sabu dan Guan Eng sendiri bahawa ia adalah gambaran kegagalan Anwar untuk menjatuhkan Muhyiddin Yassin.

Mereka barangkali mengandaikan, oleh kerana Zahid Hamidi dan Najib sudah memberi surat sokongan kepada Anwar, sudah tentulah sokongan beberapa Ahli-Ahli Parlimen UMNO sepatutnya diterjemahkan dalam undian belanjawan itu.

Sudah disebut sebelum ini bahawa sokongan UMNO kepada Anwar untuk menukar kerajaan tidak sama dengan undi menolak belanjawan atas beberapa faktor, antaranya UMNO tidak mahu dilihat mengingkari titah Agong berkenaan dengannya.

Dalam hal ini, yang penting, walaupun Zahid Hamidi dan Najib serta beberapa Ahli Parlimen UMNO tidak mengundi menolak belanjawan, Presiden UMNO dan bekas Perdana Menteri itu sehingga ini tidak pernah menafikan atau menarik balik surat sokongannya sebagaimana yang Anwar persembahkan kepada Agong sebelum ini.

Maknanya, di samping hubungan UMNO dan Bersatu terus renggang dan UMNO kekal dengan pendirian tidak mahu berkongsi kawasan pilihanraya dengan Bersatu, harapan untuk menjatuhkan Muhyiddi sebenarnya masih lagi terbuka.

Apatah lagi, dengan belanjawan telah diluluskan, menjatuhkan kerajaan selepas ini menjadi lebih mudah kerana kerajaan baharu tidak perlu lagi merangka perbelanjaan baharu.

Dikuatkan lagi dengan kenyataan Saifuddin Nasution beberapa hari lalu yang mengatakan Anwar masih ada “nombor” untuk mengambil alih kerajaan, ini juga menggambarkan usaha dan perancangan masih lagi berjalan.

Ia tidak pernah dihentikan, malah rundingan dan pertemuan ke arah itu terus diadakan.

Yang tepatnya, Anwar bukan gagal dan belum juga gagal, cumanya usahanya belum lagi berjaya setakat ini.

Bila?

Esok lusa, mungkin mendung, hujan atau cerah cuaca, tiada siapa dapat menjangka.

 (Shahbudindotcom 23/12/2020)


No comments: