DESAKAN BERBAIK SEMULA BUKAN BERMAKSUD MAHATHIR MESTI JADI KETUA

 

Memang diakui kebelakangan ini wujud beberapa desakan agar Tun Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim berbaik semula demi kepentingan bersama, khususnya untuk memungkinkan kemenangan PH atau blok pembangkang dalam PRU akan datang.

Dari segi logiknya, walaupun PH boleh dikata mampu memenangi PRU15 dengan kedudukannya sekarang, tambahan jika UMNO dan Bersatu terus berbalah dan enggan mengalah dari segi kerusi, bersatunya semula kedua-dua tokoh itu pasti mencerahkan lagi peluang ke arah kemenangan yang dihajati itu.

Ramai juga menyebut tentang bagaimana bersatunya kedua-dua tokoh itu sebelum PRU14 lalu, walaupun ketika itu Anwar berada di penjara, telah berjaya menumbangkan BN dan Najib Razak, maka jika mereka bergabung semula, Muhyiddin Yassin dan PN pasti mudah dikecundangkan sama.

Walaupun ada yang mendakwa kemenangan PH pada PRU lalu adalah disebabkan Tun Mahathir yang mengetuainya, tetapi pastilah kemenangan itu mustahil dicapai jika tanpa kesatuan pembangkang yang telah diasas dan diperkukuh kewujudannya oleh Anwar sejak 1998 lagi.

Apatah lagi, dalam arus melakukan perubahan atau reformasi dalam negara, nama Anwar dan keluarganya sudah terpahat kukuh dalam minda rakyat sejak sekian lama.

Ertinya, baik Tun Mahathir atau Anwar, kedua-duanya ada peranan dan sumbangan yang seimbang dalam kejayaan PH pada 2018 lalu itu.

Begitu pun, meski sebahagian desakan agar Tun Mahathir dan Anwar berbaik semula itu datang daripada dalam PH sendiri, haruslah difahami bahawa ia bukanlah suatu kata mutlak untuk menobatkan semula bekas Perdana Menteri itu sebagai ketua.

Dalam keadaan PH sudah terbentuk struktur kepimpinannya, menjadikan Tun Mahathir sebagai ketua bermakna akan merobohkan binaan yang telah sedia terbina.

Dalam hal ini, gesaan berbaik itu adalah semata-mata bersandarkan matlamat untuk mencapai kemenangan bersama, bukan untuk meletakkan Tun Mahathir sebagai ketua atau menjatuhkan Anwar daripada kedudukannya sekarang.

Jika itu yang cuba dimaksudkan, ia pasti tidak akan menemui titik persetujuan.

Lagi pula, Tun Mahathir sudah dipilih sebagai ketua PH sebelum ini, maka sekarang giliran beliaulah pula menyokong Anwar mengemudi gabungan itu.

Sebagaimana Anwar dan keluarganya sebelum ini memberi sokongan penuh kepada Tun Mahathir, kini giliran beliau pula untuk membalasnya.

Ketika menjadi Perdana Menteri bersama UMNO dahulu, Tun Mahathir pernah berpesan, apabila giliran kira berada di bawah, kita hendaklah menyokong mereka yang menjadi pemimpin sebagaimana mereka memberi sokongan kepada kita sebelum itu.

Rasanya Tun Mahathir sendiri pasti belum lupa kata-kata yang pernah diucapkannya dalam Perhimpunan Agung UMNO itu.

Maka sekarang, dalam keadaan beliau berada di bawah, partinya Pejuang belum didaftarkan dan hanya ada empat Ahli Parlimen, termasuk dirinya sendiri yang bersamanya, sebenarnya inilah masanya untuk beliau mengotakan segala kata-katanya itu.

Jika dalam keadaan di bawah ini pun beliau masih mahu jadi ketua dan enggan memberi sokongan kepada Anwar yang sudah sedia mengetuai PH, bermakna Tun Mahathir bukanlah pemimpin yang cakap serupa bikin orangnya.

Lebih penting daripada itu, matlamat utama PH dan blok pembangkang sekarang ialah untuk menumbangkan PN yang dianggap sebagai kerajaan pintu belakang serta Muhyiddin yang disifatkan pengkhianat.

Untuk itu, Tun Mahathir mesti sedia bertolak ansur dan beliau mesti sedar, keadaan PH tidak lagi sama seperti sebelum PRU14 dulu di mana ketika itu beliau dipersetujui untuk mengetuai PH kerana Anwar berada di penjara.

Sekarang Anwar bukan saja sudah bebas, malah sedang mengetuai PH.

Maka, di mana munasabahnya untuk Anwar diminta memberi laluan untuk tempat duduknya diduduki oleh Tun Mahathir?

Kalau Tun Mahathir enggan bertolak ansur, maknanya beliau bukan saja tidak mahu PH menang pilihanraya dan Anwar menjadi Perdana Menteri, malah secara tersiratnya lebih inginkan Muhyiddin terus kekal menerajui negara ini.

 (Shahbudindotcom 23/12/2020)




No comments: