MOSTI nafi bayar RM3 bilion untuk 10 juta dos vaksin COVID-19

 

Perkara itu, menurut MOSTI sudah dijawab dan dijelaskan menteri Khairy Jamaluddin, beberapa kali pada persidangan Dewan Rakyat lepas. (Gambar AP)

PUTRAJAYA: Tuduhan di laman sosial bahawa kerajaan membayar RM3 bilion untuk pembelian 10 juta dos vaksin COVID-19 tidak benar, kata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

MOSTI menjelaskan seperti yang diumumkan sebelum ini, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM3 bilion bagi tujuan perolehan vaksin COVID-19 dan peruntukan RM3 bilion yang disediakan itu bagi perolehan vaksin sehingga 70% populasi negara atau 22.4 juta orang.

Perkara itu, menurut MOSTI sudah dijawab dan dijelaskan menteri Khairy Jamaluddin, beberapa kali pada persidangan Dewan Rakyat lepas.

MOSTI dalam kenyataan menyatakan, melalui semua rundingan dan perjanjian yang telah dan akan dimeterai buat masa ini, kerajaan akan membelanjakan sejumlah USD504.4 juta iaitu kira-kira RM2.05 bilion.

Kerajaan, menurut MOSTI baharu sahaja menandatangani perjanjian dengan syarikat farmaseutikal Astra Zeneca, bagi perolehan sebanyak 6.4 juta dos atau tambahan sebanyak 10% lagi.

“Ini bermakna jaminan bekalan vaksin sebanyak 40% yang telahpun diperoleh menerusi perjanjian bersama fasiliti COVAX, syarikat Pfizer dan syarikat AstraZeneca,” katanya.

MOSTI berkata, kerajaan juga sedang dalam proses rundingan akhir dengan Sinovac, CanSino dan Gamaleya, bagi mendapatkan jaminan bekalan vaksin bertambah melebihi 80% jumlah populasi negara atau 26.5 juta.

“Jumlah 80% ini adalah melebihi sasaran awal iaitu untuk memberikan vaksin kepada 70% rakyat Malaysia,” menurut kenyataan MOSTI itu.

MOSTI meminta agar orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya membuat dan menyebarkan maklumat tidak sahih dan palsu, tanpa merujuk kepada kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh kerajaan.

“MOSTI tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang, ke atas sebarang kenyataan yang tidak berasas serta tidak benar yang boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai,” menurut kenyataan itu lagi.


No comments: