Mungkinkah Umno bergabung dengan DAP?

 

Sebilangan pemimpin Umno membuat spekulasi mengenai gabungan dengan parti lain, termasuk DAP, untuk membentuk kerajaan Perak yang baru.

PETALING JAYA: Pemimpin Umno yang mencari jalan untuk membentuk kerajaan Perak yang baru tidak menolak kemungkinan adanya pakatan politik baru, tetapi penganalisis politik berkata gabungan seperti itu hanya bersifat sementara dan tidak akan bertahan lama.

Oh Ei Sun.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, besar kemungkinan adanya gabungan antara Umno dan parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) kerana tidak ada satu pun parti pun yang mempunyai majoriti di DUN.

Beliau berkata, gabungan Umno-PH “pasti akan lebih kuat buat masa ini daripada kerajaan Perak yang digulingkan, kerana ia memiliki lebih banyak kerusi”. Bagaimanapun, gabungan seperti itu hanya bersifat sementara, kerana perbezaan ideologi yang ketara antara parti.

Umno, dengan 25 kerusi, adalah parti terbesar dalam DUN Perak daripada 59 ahli. PH menguasai 24 kerusi melalui DAP (16), Amanah (5) dan PKR (3).

Bagaimanapun, bekas pensyarah Azmi Hassan berkata, kerjasama antara Umno dan DAP tidak mungkin wujud, walaupun hanya di Perak.

“Jika itu berlaku, tidak diragui ia akan menjadi kerajaan negeri yang stabil dengan memiliki majoriti besar. Tetapi saya rasa ia akan menjadi janggal dan tiada kesinambungan,” katanya.

Azmi berkata, kenyataan spekulasi Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berhubung kerjasama dengan pembangkang mungkin mengenai PKR dan Amanah.

Syed Arabi Idid.

“DAP tabu kepada akar umbi Umno”, katanya, dan Umno (menjadi sebahagian daripada Perikatan Nasional) juga ingin memastikan DAP tidak menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat.

Bagaimanapun, Oh berkata, “sekarang ini apa saja gabungan politik mungkin boleh berlaku, dengan syarat kepentingan politik diselaraskan pada masa kerajaan gabungan dibentuk.


Sementara itu, penganalisis lain, Syed Arabi Idid dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, walaupun Umno mesti membentuk gabungan dengan sokongan majoriti, DAP tidak boleh menjadi sebahagian daripada persamaan itu.

Jika PKR dan Amanah memutuskan untuk bekerjasama dengan Umno, hubungan dalam PH akan tegang. Sebaliknya, rakan Umno dalam BN, MCA “akan berasa dikhianati” apabila DAP akan menjadi sebahagian daripada kerajaan baru.

James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania berkata, pakatan DAP-Umno amat mustahil kerana masyarakat Cina tidak akan menerimanya.

Chin berkata, Zahid tidak boleh bercakap bagi pihak Umno, walaupun menjadi presiden, kerana beliau tidak mempunyai kawalan penuh terhadap semua ahli parti.



No comments: