Pengangkutan awam luar bandar pun perlukan peruntukan kerajaan

 


Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh menggesa kerajaan supaya memperuntukkan dana untuk pengangkutan awam di luar bandar di seluruh negara.

Beliau berkata, pertambahan peruntukan besar untuk pengangkutan awam bandar dari RM13 juta kepada RM521 juta seolah-olah menganakitirikan pengangkutan bas di luar bandar.

"Adakah pengangkutan awam luar bandar tidak diberi perhatian kerana tiada butiran dalam anggaran kementerian.

"Saya menaiki bas Muafakat Johor, saya lihat ada manfaatnya supaya ada juga peruntukan diberikan kepada pengangkutan luar bandar terutamanya untuk membantu rakyat menghadapi masalah pengangkutan," katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan peruntukan Kementerian Pengangkutan di peringkat jawatankuasa.

Pada masa sama, Syed Ibrahim juga meminta kerajaan memberikan perhatian kepada masalah yang dihadapi oleh pemandu e-hailing yang kehilangan kerja.

"Saya ingin menteri jelaskan pendirian kerajaan dalam isu 'wrongful termination' terhadap pemandu e-hailing oleh syarikat e-hailing.

"Perkara ini ada berlaku, memandangkan mereka tiada medium khusus membawa masalah ini dan tidak ada usaha tindakan undang-undang malah akan memakan kos belanja, apakah ada ruang untuk mereka dapatkan pembelaan," katanya.

Syed Ibrahim juga mempersoalkan peruntukan dua program perkhidmatan bas henti-henti.

"Terdapat pengurangan terhadap prorgram dana bantuan sementara bas henti-henti dari segi peruntukan dari RM98 juta ke RM80 juta. Walaupun pengurangan tidak signifikan tetapi bukankah kumpulan ini antara memerlukan sokongan bantuan kerajaan dalam pemulihan operasi.

"Dalam program transformasi bas henti-henti, tidak ada penambahan atau pengurangan sebaliknya peruntukannya sama, mohon penjelasan apakah peruntukan ini memadai, memandangkan tiada penambahan, dan adakah kerajaan akan pertimbangkan perluasan program untuk perkhidmatan bas kawasan luar bandar yang ada banyak penduduk," katanya.

 


No comments: