27 PH Johor teguh perjuangkan rakyat
Pakatan Harapan (PH) Johor sepakat dengan membuat undian belah bahagi di Dewan Negeri (Dun) Johor bagi usul pengecualian cukai rumah kos rendah untuk tahun 2021.
Menurut Ketua Pembangkang Dun Johor, Aminolhuda Hassan ketika dihubungi berkata ia suatu manifestasi kesepakatan pembangkang bagi manfaat kepada seluruh rakyat di negeri ini.
Katanya, usul tersebut dibuat bagi meringankan bebanan golongan yang terkesan teruk seperti mereka yang tinggal di rumah kos rendah.
“Ini menunjukkan kesepakatan yang jitu di antara sesama kita (PH) bagi membawa suara rakyat dari pelbagai latar belakang dan kategori.
“Walaupun kita tewas ketika undian belah bahagi dibuat (27 menyokong, 29 menolak usul) namun kita telah membuktikan kita mengundi dan tidak akan mengalah mudah dalam memperjuangkan nasib rakyat.
“Anggaran ini membawa suara teguran dan cadangan kepada kerajaan. Walaupun kita tewas kita akan tetap terus memperjuangkan hak rakyat di negeri ini,” katanya.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor ketika ditanya berkenaan dengan undia percaya kepada Menteri Besar (MB) Johor berkata ia adalah di antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan Umno.
Tambahnya, tidak ada usul yang dibawa oleh Bersatu dalam sidang Dun semalam dan ia bukanlah permintaan daripada PH.
“Apa yang berlaku di Perak semua maklum, ia pertembungan antara Bersatu dan Umno dan kita (PH) telah membuktikan kekuatan yang ada.
“Sehingga habis sidang dewan tidak ada usul tergempar yang dibawa oleh Adun Bersatu mahupun Umno. Pakatan (PH) hanya mahu kebajikan kepada rakyat terus dimartabatkan.
“Ia terpulanglah kepada Bersatu dan Umno untuk menyelesaikan konflik mereka,” katanya lagi.
Undian yang berlangsung petang semalam telah menyaksikan ke semua 27 Adun pembangkang dari PH telah mengundi untuk menyokong cadangan agar pengecualian cukai untuk tahun 2021 diberikan kepada rumah kos rendah di negeri ini.