MB Kedah 'hina' penganut Hindu, menyalahi norma politik Islam

 

Penghinaan Menteri Besar (MB) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor kepada bantahan pemimpin MIC dan DAP menggunakan ungkapan 'mabuk todi' tidak melambangkan perjuangan politik Islam, lebih-lebih lagi dari parti yang melabelkan diri dipimpin golongan agamawan seperti Pas.

Ahli Parlimen Setia Wangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tidak sewajarnya seorang MB yang berkhidmat untuk semua kaum melayan isu perobohan kuil penganut Hindu dengan penghinaan perkauman.

"Kita perlu ingat isu-isu berkaitan rumah ibadat merupakan isu yang sensitif dan boleh membangkitkan isu perkauman. Selaku Menteri Besar, sepatutnya MB Kedah memahami kesan perobohan kuil ini terhadap emosi penganut Hindu.

"Selepas itu, beliau tanpa rasa segan silu pula menggunakan perumpamaan 'minum todi' ekoran bantahan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin MIC dan DAP terhadap isu perobohan kuil Hindu.

"Sikap seperti ini jelas tidak memberi imej seseorang yang memperjuangkan politik Islam," katanya dalam satu kenyataan.

Nik Nazmi bagaimanapun maklum faktor undang-undang yang menjadi asas perobohan Kuil Sri Raja Muniswarar di Taman Bersatu, Kuala Kedah baru-baru ini yang dipertikaikan.

Namun kewujudan rumah ibadat selain untuk penganut Islam yang sukar mendapat kelulusan memerlukan kematangan politik seorang MB untuk bertindak secara bijaksana.

"Saya percaya rundingan yang teliti boleh diadakan dengan wakil kuil, supaya perobohan ini tidak kelihatan terlalu tergesa-gesa," katanya lagi.

Sewaktu pemerintahan Pakatan Harapan (PH) di Kedah, kuil tersebut tidak dijadikan tumpuan pembangunan kawasan kerana memerlukan penyelesaian yang menyeluruh.

Di negeri-negeri pentadbiran PH, perobohan kuil biasanya dilakukan selepas struktur dipindahkan ke tapak baharu dan diberi hak milik tanah.

 


No comments: