1. Fasa 1 menjatuhkan Peja telah disempurnakan. 48 menolak usul percaya berbanding 10 adalah isyarat yang jelas MB Peja dari Bersatu tiada majoriti. Secara asasnya kejayaan usul percaya yang dikalahkan adalah kombinasi UMNO+PH manakala PAS dan pembelot dari Bersatu telah gagal pertahankan MB Peja dan kerajaan PN.
2. Fasa seterusnya ialah melantik MB baru dari UMNO yang sedari 2 bulan lalu telah menggerakkan usaha ini. PH sejak awal menolak MB Peja yang bersengkongkol dengan PAS dan UMNO mengkhianati PH yang bermandat. Ironinya UMNO yang bersama jatuhkan PH bulan March 2020 dengan para pembelot kini berganding undi dengan PH menolak kerajaan Peja pula.
3. UMNO sudah ada calon MBnya, cabarannya ialah untuk mendapat sokongan secara SD dari Adun-Adun lain dari PH, PAS dan Bebas. Secara teorinya UMNO hanya perlu 5 atau 6 tambahan sokongan. Apakah PAS akan menyokong UMNO dalam fasa 2 setelah menyatakan sikapnya yang bertentangan dalam fasa pertama? Apakah PAS akan ‘kona baring’ dalam fasa ke dua? Bagaimana dengan Yb-Yb lompat? Apakah mereka akan lompat lagi?
4. Bagi saya, cabaran yang lebih utama ialah bagaimana fasa ini akan menjayakan sebuah kerajaan yang lebih kukuh dan tidak mudah goyah bukan sekadar majoriti mudah. Saya mencadangkan angka 48 sebagai kayu pengukur yang perlu dilanjutkan dalam fasa ini, ia bukan mustahil. Ini bermakna 24 UMNO dan 24 PH mampu membentuk kerajaan yang dari sudut bilangannya adalah kukuh dan stabil.
5. Soal bagaimana teknikal pembentukan kerajaan UMNO+PH di Perak terpulanglah kepada perbincangan dan persetujuan bersama antara pemimpin UMNO dan PH. Keperluan ini adalah di atas premis membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan kukub bilangan sehingga pembubaran wajib 2023. Peluang ini patut digunakan untuk kukuhkan demokrasi dan sembuhkan negeri Perak dari frisko politik langkah sheraton yang mengundang musibah besar politik negara.
6. Tidak syak lagi kerajaan UMNO+PH di Perak akan menimbulkan berbagai polemik di kalangan penyokong masing-masing. Tetapi dari sudut kerangka lebih besar, keperluan kerajaan yang bermajoriti kukuh untuk berkhidmat kepada rakyat harus diutamakan. Di sinilah politik berjiwa besar perlu ditonjolkan dalam suasana covid dan krisis kepercayaan kepada pemerintah menggugat ketahanan kita.
7. Saya melihat insiden di Perak adalah mikro kepada krisis politik nasional yang kita hadapi. Fasa pertama membuktikan gabungan undi UMNO+PH bukan mustahil, kita menanti fasa kedua apakah gabungan ini untuk stabiliti sebuah kerajaan boleh dicapai. ‘Langkah Perak’ mencabar MP di Persekutuan khususnya MP UMNO apakah mereka bersedia bersikap terbuka seperti PH di Perak?
8. Tidak ada bezanya di Persekutuan dari sudut tujuan besar yang ingin dicapai, iaitu membentuk kerajaan yang kukuh dan stabil melalui bilangan undi yang solid antara PH dan UMNO. UMNO boleh membetuli keadaan dari badi langkah sumbang sheraton dan kecurangan PAS terhadap erti setiakawan politik dan sekaligus memulihkan imej untuk masul PRU dengan selesa.
Yb DS Dr Mujahid Yusof Rawa
Naib Presiden AMANAH
Ahli Parlimen Parit Buntar
6 Dis 2020.