BILA USUL UNDI TIDAK PERCAYA AKAN DIBENTANG DI PARLIMEN?
Bila usul Undi Tidak Percaya akan dibentang di Parlimen?
Berdasarkan jawapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun semalam bahawa 25 Usul Undi Tidak Percaya yang dihantar ke Dewan Rakyat bergantung kepada ‘arahan’ menteri untuk dibahas, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim memasukkan pertanyaan mengenai nasib usul berkenaan.
Menurut Hassan, pertanyaan bilakah Usul Undi Tidak Percaya akan dibentang itu dibuat semalam kepada Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bin Bacha Mydin
“Satu pertanyaan kepada Perdana Menteri (PM) bilakah 25 usul Undi Tidak Percaya dan 2 usul Undi Percaya kepada Ahli Parlimen Pagoh sebagai PM Malaysia akan dibentangkan, dibahaskan dan diundi di Dewan Rakyat?” tanya Hassan.
Semalam juga Speaker Azhar Harun mengambil contoh Parlimen di United Kingdom (UK) sebagai rujukan di mana Speaker tidak ada kuasa untuk mendahulukan usul Percaya atau Tidak Percaya berbanding usul kerajaan.
Di samping itu, Azhar berkata usul tersebut bergantung kepada menteri untuk memberi arahan agar disegerakan.
Bagaimanapun, sekiranya mengambil contoh Parlimen UK, House of Commons pernah membenarkan usul Undi Tidak Percaya kepada PM Teresa May pada 2019 dan tidak bergantung kepada menteri memberi ‘arahan’ mengenainya.