HUBUNGAN UMNO-BERSATU REALITINYA BOLEH DIKIRA SUDAH BERAKHIR….

 

Atas apa hujah dan alasan sekali pun, apa yang berlaku di Perak sehingga tumbangnya Ahmad Faizal Azumu atau Peja sebagai Menteri Besar adalah suatu tindakan khianat dan perbuatan tikam belakang.

Ia boleh diumpamakan seperti seseorang yang menjemput kawannya minum petang, tetapi dibubuhnya racun dalam cawan sehingga kawannya tadi tergolek dan tumbang.

Kata seorang kawan lain yang takut bini pula, tindakan UMNO itu boleh juga disamakan seperti suami yang khianat bermain kayu tiga di ruang tamu di depan isterinya sendiri.

Bermakna, dalam kedua-dua keadaan, hubungan baik mustahil hendak dipulihkan semula.

Bolehkah seseorang yang meracun kawannya sehingga tumbang tiba-tiba meminta keluarga kawannya itu menerimanya sebagai kawan semula seperti dulu?

Bolehkah juga seorang suami yang bermain kayu tiga tadi berkata kepada isterinya – marilah kita kukuhkan semula rumahtangga kita?

Untuk itu, dalam kes di Perak, adalah mustahil sebenarnya untuk UMNO dan Bersatu memulihkan hubungan atau berkawan semula seperti dahulu.

Apabila Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan dilaporkan menulis surat kepada rakan sejawatnya dalam Bersatu dan Pas meminta agar kerajaan PN terus dipertahankan di Perak, ini benar-benar sesuatu yang kelakar sebenarnya.

Boleh jadi Ahmad Maslan belum begitu masak dengan rencam kehidupan atau mungkin beliau jenis manusia yang berada hanya dirinya saja betul sepanjang masa.

Mahu tidak tahu, menumbangkan rakan sendiri sebagaimana dilakukan UMNO terhadap Peja adalah sesuatu yang menyakitkan buat Bersatu dan Muhyiddin Yassin.

Siapa pun jika diperlakukan demikian, hatinya pasti luka, luluh, remuk dan hancur berderai bak debu-debu berterbangan.

Rasa percaya Bersatu terhadap UMNO pasti sudah hilang bersama pengkhianatan yang dilakukan itu.

Muhyiddin pun barangkali selepas ini sudah rasa malas mahu berjumpa Zahid Hamidi lagi.

Dalam erti kata lain, hubungan UMNO dan Bersatu, bukan saja di Perak, malah di peringkat pusat pun, sebenarnya sudah berakhir sebaik saja episod di Perak itu.

Baik UMNO atau Bersatu, adalah sia-sia dan membuang masa saja untuk mereka terus cuba memulihkan kembali hubungan dan rasa kepercayaan sesama mereka.

Bagi Bersatu, mereka berhak dan akan lebih dihormati jika meninggakan terus UMNO untuk meneruskan perjuangan masa depannya bersama rakan lain yang lebih dipercayai.

Seorang isteri yang dikhianati dengan perbuatan suami bermain kayu tiga didepannya akan dianggap tidak senonoh atau sudah kena bomoh jika terus berbangga dengan perkahwinan sedia ada.

Lagi pun, setelah berkhianat di Perak, tidak mustahil khianat lain sedang disusun dan kerana itu, jangan sampai Bersatu dikhianati lagi di lain masa.

Begitu juga dengan UMNO, selain kelakar dan perangainya jelas entah apa-apa kerana setelah berani berbuat khianat, tapi mati-mati ingin merujuk semula kepada isteri lama.

Berani buat beranilah tanggung, berani khianat mestilah berani juga keluar rumah atau lain kali fikir masak-masak dulu sebelum buat sesuatu.

Buat malu hero saja, berani khianat dan berani main kayu tiga, tapi mati-mati mahu tidur sekatil lagi dengan isteri lama.

 (Shahbudindotcom 09/12/2020)