UMNO MULA RASA TERSEPIT, KERAJAAN BARU DI PERAK MASIH TEKA-TEKI


Jatuhnya Ahmad Faizal Azumu atau Peja sebagai Menteri Besar Perak berikutan gagal dalam undi percaya di Dun Perak semalam adalah agenda yang memang dirancang oleh UMNO.


Secara mudahnya tindakan itu ialah kerana UMNO dengan jumlah kerusi terbanyak dalam Dun Perak iaitu 25 kerusi, mahukan jawatan Menteri Besar Perak itu menjadi milik mereka.


Sebab itu, Speaker Perak yang merupakan pemimpin UMNO tiada halangan membenarkan usul tersebut.


Lebih daripada itu, Abdul Manaf Hashim, Adun Pengkalan Hulu yang mengemukakan usul percaya dan disokong oleh Adun Kenering, Tarmizi Idris, akhirnya kedua-dua Adun UMNO berkenaan bertindak menolak usul yang mereka bawa dan sokong itu.


Barangkali ini merupakan pertama kali berlaku dalam dunia di mana seseorang yang membawa usul dan penyokongnya bertindak menolak usul yang mereka sendiri bawa dan sokong.


Ternyata di sini usul tersebut yang pada mulanya digambarkan seolah-olah untuk mengesahkan kedudukan Peja sebenarnya adalah bertujuan untuk membuang beliau.


Daripada satu segi, UMNO memang berjaya dalam perancangannya untuk menjatuh dan menggulingkan Peja, rakan sendiri dalam kerajaan yang mereka setuju sertai bersama dengan Bersatu.


Tetapi, setelah berjaya dalam usaha itu, UMNO kini seolah-olah tersepit untuk memastikan mereka benar-berjaya berjaya membentuk kerajaan dan menduduki kerusi Menteri Besar.


Walaupun UMNO memiliki 25 kerusi daripada keseluruhan 59 kerusi Dun di Perak, ia belum lagi memenuhi syarat majoriti untuk membentuk kerajaan.


Dengan Bersatu ada 6 kerusi dan Pas ada 3 kerusi, UMNO masih memerlukan sokongan kedua-dua parti itu.


Sementara Bersatu belum dipastikan pendirian mereka, Pas lebih awal membuat keputusan tidak akan menyertai kerajaan baru yang bakal dibentuk UMNO nanti.


Dalam hal ini, Pas jelas kecewa dan tidak dapat menerima tindakan UMNO menjatuhkan Peja yang pada hakikatnya pada anggapan mereka adalah perbuatan menikam rakan sendiri.


Oleh kerana Pas adalah komponen PN bersama Bersatu, pendirian parti itu enggan menyertai kerajaan negeri Perak tidak mustahil turut memberi kesan kepada kelangsungan Muafakat Nasional selepas ini.


Tambahan lagi, Pas juga melihat jatuhnya Peja di Perak seolah-olah wujudnya kebersamaan sehati sejiwa antara UMNO dan PH, khususnya DAP yang memiliki 16 kerusi turut sama menolak usul percaya itu.


Maka, ini mungkin menjadi alasan terbaik untuk Pas terus mengukuhkan kedudukannya bersama Bersatu dalam PN dan melupakan UMNO serta MN.


Dalam beberapa perkembangan lain pula, Pas jelas lebih selesa bersama Bersatu dan menyokong Muhyiddin Yassin berbanding UMNO, musuh tradisinya sejak puluhan tahun lagi.


Sebab itu, kini tampil beberapa pemimpin UMNO yang pantas menyeru agar kerajaan PN terus dikekalkan di Perak, di sebalik tindakan mereka menjatuhkan Peja.


Kata mereka, yang berubah hanyalah pemegang jawatan Menteri Besar daripada Bersatu kepada UMNO, tetapi kerajaan PN hendaklah terus dikekalkan.


Selain Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan yang paling awal membuat seruan itu, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan juga meminta Bersatu agar berjiwa besar menerima perubahan di Perak itu.


Kata beliau, sebagaimana UMNO berjiwa besar menerima Muhyiddin sebagai Perdana Menteri walaupun kerusi Parlimen UMNO lebih banyak daripada Bersatu, kali ini Bersatu juga harus berjiwa besar menerima UMNO menduduki kerusi Menteri Besar Perak.


Begitu pun, daripada kenyataan Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin, parti itu memang kecewa dan tidak dapat menerima tindakan UMNO itu.


Logiknya, memang tidak mudah untuk Bersatu menyokong UMNO di Perak kerana bagi mereka ia adalah perbuatan khianat, gila kuasa dan seperti bubuh racun dalam cawan untuk bunuh kawan sendiri.


Menjadi penantian kini ialah apakah Bersatu sedia kembali bersama UMNO setelah mereka dikhianati?


Bagaimana jika Bersatu enggan memberi sokongan kepada UMNO, sebaliknya kembali memberi sokongan kepada PH yang memiliki 24 kerusi?


Atau mungkinkan UMNO yang memiliki 25 kerusi akan bersama dengan PH yang mempunyai 24 kerusi untuk membentuk kerajaan baru dengan kedudukan paling kukuh iaitu 49 kerusi atau majoriti 3/4? (Shahbudindotcom 05/12/2020)