Solat hajat, zikir dan munajat menjelang Anwar mengadap Agong



Mantan Presiden kedua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Profesor Ustaz Dr Razali Nawawi menyeru rakyat Malaysia yang bersimpati dan menyokong perjuangan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar melakukan solat hajat, zikir dan munajat menjelang 13 Oktober ini.

 Katanya, amalan itu bagi memohon ke hadrat Allah swt agar memudahkan Datuk Seri Anwar mengadap Yang di-Pertuan Agong mempersembahkan majoriti Ahli-ahli Parlimen yang menyokong beliau bagi mengambilalih Kerajaan Persekutuan dari Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

 "Sebagaimana kita sedia maklum bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rakan-rakannya sedang berusaha dengan bersungguh-sungguh dan gigih untuk menyelesaikan kemelut politik negara yang sudah sampai ke tahap kritikal.

 "Kita juga maklum bahawa Datuk Seri Anwar akan mengadap Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong pada hari Selasa, 13 Oktober ini.

 "Oleh itu, saya merayu dan mengajak rakan-rakan serta teman-teman yang bersimpati dengan perjuangan Datuk Seri Anwar untuk hadir menyertai majlis solat hajat, zikir dan munajat bagi merayu kepada Allah swt.

 "Allah yang maha berkuasa membantu memudahkan segala usaha Datuk Seri Anwar dan rakan-rakannya dalam usaha mereka ini," katanya dalam satu kenyataan.

 Menurut mantan Dekan Kuliyyah Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu lagi, majlis khas akan diadakan di Anjung Rahmat, Sungai Merak, Kajang. Bermula pada solat Zohor hari Isnin dan berakhir pada Zohor hari Selasa.

 Bagi yang tidak berkelapangan atau berjauhan, ustaz Razali menasihatkan penyokong agar melakukan ibadah di kediaman masing-masing.

 "Saudara yang boleh hadir (di Anjung Rahmat) saya nasihatkan supaya puasa sunat pada hari Isnin.

 "Manakala yang bersimpati dengan usaha yang baik ini, dapat juga ikut serta dengan berpuasa pada hari Isnin serta melaksanakan solat hajat, zikir dan munajat kepada Allah swt di tempat masing-masing," katanya lagi.