Tindakan
kerajaan 'tebuk atap' Perikatan Nasional (PN) membenarkan anak syarikat
Khazanah Nasional Bhd, UEM Sunrise bergabung dengan EcoWorld dikecam oleh
pimpinan Pakatan Harapan (PH).
Menurut
Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil, penggabungan syarikat berkaitan
kerajaan (GLC) itu dengan sebuah syarikat swasta yang dikatakan bermasalah
tidak wajar berlaku dalam keadaan rakyat kesempitan hidup kesan pandemik Covid
19.
"Pada
ketika rakyat menderita menghadapi gelombang ketiga Covid 19 dan ekonomi suram,
tindakan meneruskan penggabungan dua syarikat ini memberi gambaran berlakunya
usaha menyelamat (bail-out) sebuah syarikat swasta menggunakan dana rakyat.
"Setakat
hari ini, nilai saham EcoWorld Berhad telah merudum ke RM0.39 berbanding RM1.40
lima tahun lalu. Keadaan hutang dan aliran tunai EcoWorld juga amat
membimbangkan.
"Jika
diteruskan, tidak mustahil Khazanah dilihat sebagai ‘penyelamat’ EcoWorld
apabila terpaksa memberi suntikan dana yang besar. Lebih-lebih lagi apabila
kita diingatkan pasaran hartanah untuk beberapa tahun akan datang sudah pasti
lemah.
"Tambahan
pula, beberapa penganalisa pasaran menyatakan jika diteruskan, pegangan saham
Khazanah Nasional dalam UEM Sunrise Berhad akan berkurangan dari 66% kepada
43%, dan kehilangan kawalan ini adalah satu bentuk kerugian kepada
rakyat," katanya dalam satu kenyataan.
Bagi
Fahmi, pendapat penganalisa pasaran yang menyatakan EcoWorld bukan rakan yang
sesuai untuk bergabung dengan UEM Sunrise wajar diambil kira oleh kerajaan PN.
Katanya,
jika hujah itu mempunyai merit maka Khazanah tidak seharusnya diberi 'lampu
hijau' melaksanakan penggabungan yang merugikan rakyat itu.
"Dalam
keadaan ekonomi yang belum pulih dan 745,000 warga Malaysia hilang kerja
setakat Julai 2020, kerajaan melalui Khazanah Nasional tidak perlu terburu-buru
dan wajib pertimbangkan semula kewajaran meneruskan penggabungan.
"Kerajaan
perlu berusaha lebih gigih untuk selamatkan rakyat, bukan syarikat
swasta," katanya lagi.
Untuk
rekod, penggabungan anak syarikat Khazanah dan EcoWorld pernah diusahakan pada
era pentadbiran Pakatan Harapan yang lalu. Bagaimanapun, rancangan itu dibantah
keras oleh kebanyakan pemimpin PH menyebabkan ia gagal dilakukan.