BOB KELANANG
Pelantikan Setiausaha PAS Sabah, Aliakbar Gulasan, sebagai Adun
menjadikannya wakil rakyat pertama PAS di negeri itu, perkembangan yang dilihat
menyakitkan hati ramai rakyat di Sabah, kata bekas ketua pegawai eksekutif
Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS).
Johan Ariffin Samad berkata, rakyat Sabah bagaimanapun tidak
boleh menyalahkan Aliakbar dan PAS semata-mata, sebaliknya menuding jari kepada
Presiden STAR, Jeffrey Kitingan; Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Maximus
Ongkili; dan Ketua Umno Sabah, Bung Mokhtar Radin.
“Mereka ini katakan ‘biarlah Aliakbar buktikan dirinya’. Apa
lagi yang hendak dibuktikan kerana PAS sendiri sudah bertapak sebagai parti
politik lebih 60 tahun. Kita tahu apa pendirian PAS, mereka tidak boleh tipu
PAS Sabah ini berbeza dengan PAS yang berada di Semenanjung.
“Aliakbar tentu akan ikut arahan PAS Pusat yang berada di
Semenanjung, sama juga dengan parti lain seperti Umno Sabah juga akan ikut
arahan Umno di Kuala Lumpur, begitu juga dengan PPBM Sabah. Jadi di sini,
bagaimana Aliakbar boleh bawa perubahan?” katanya ketika dihubungi FMT.
Aliakbar antara 4 individu yang menerima watikah pelantikan
sebagai Adun daripada Yang Dipertua Negeri, Juhar Mahiruddin, di Istana Negeri.
Perlembagaan Sabah membenarkan kerajaan negeri melantik sehingga 6 Adun.
Spekulasi mengenai pelantikan pemimpin PAS pada mengundang
bantahan banyak pihak. Semalam, Timbalan Ketua Menteri Jeffrey Kitingan, yang
juga presiden STAR, mengingatkan rakyatnya bahawa pelantikan Aliakbar merupakan
prerogatif Ketua Menteri Hajiji Noor walaupun pemimpin PAS dari semasa ke
semasa mengeluarkan kenyataan yang menggores perasaan serta sentimen rakyat.
Presiden PBS, Maximus Ongkili, dalam pada beliau mempertahankan
pendirian parti mengatakan tidak perlu menetapkan sebarang duluan dengan
pelantikan itu, percaya Aliakbar akan membetulkan perkara yang salah dan
persepsi orang ramai terhadap PAS.
Johan bagaimanapun tertanya jika benar pentadbiran Hajiji ingin
melantik individu yang mampu membuat perubahan, kenapa pemerintah tidak
melantik wakil masyarakat daripada golongan kurang upaya, ibu tunggal, atau
wanita memandangkan tidak ramai daripada kelompok itu diberikan ruang.
“Kenapa tidak lantik seorang atau dua orang dari mereka ini?
Bahkan juga wakil dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mereka turut memainkan
peranan penting dalam masyarakat. Tetapi kita lantik individu dari PAS, jadi
apakah matlamat dan objektif yang hendak dibawanya?” katanya.