Jika Anwar cukup sokongan tidak perlu pilihan raya mengejut
Timbalan Pengerusi DAP Pahang M Manogaran berpendapat tiada keperluan untuk negara mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) secara mengejut sekiranya Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai majoriti secukupnya pada pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong, Selasa ini bagi mengambilalih pemerintahan dari Perikatan Nasional
“Tiada orang tahu jumlah sebenar Ahli-ahli Parlimen yang menyokong Anwar tetapi saya berharap segalanya akan dihuraikan pada hari Selasa, 13 Oktober 2020 ini,
“Walau bagaimanapun, yang penting sekarang ialah pertarungan di antara rakyat Malaysia dengan wabak Covid-19 yang telah kembali menular di negara kita.
“Justeru, jika Anwar ada cukup sokongan, tiada perlu untuk PRU diadakan sebab dulu pun Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri tanpa PRU,” kata M. Manogaran kepada Suara Pakatan Daily.
Dalam pada itu, beliau berharap jika Anwar menjadi Perdana Menteri, Ahli Parlimen Port Dickson itu akan menetapkan agenda Ketuanan Rakyat serta berlaku adil dan saksama terhadap semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau agama. Ini supaya semua rakyat Malaysia dapat hidup secara muhibbah dan aman-damai dalam semangat bertolak-ansur.
Beliau juga mendoakan agar Anwar mampu membaikpulih ekonomi Malaysia yang merudum saat ini.
Katanya, rakan-rakan beliau dari golongan usahawan melaporkan pada masa ini bukan mudah untuk mendapat bayaran dari para pelanggan terutamanya dari pelanggan yang telah membeli banyak barangan dan stok dalam keadaan ekonomi yang tidak berkembang
“Iklim keusahawanan masih lembab dan ramai usahawan masih was-was dalam membuat keputusan melaburkan modal. Golongan usahawan dalam keadaan berjaga-jaga sebab mereka sedang menunggu pembentangan Belanjawan di Parlimen nanti.
“Banyak perkara seperti dasar kewangan dan ekonomi belum ditentukan dan oleh itu, golongan usahawan belum tahu macam mana hendak membuat perancangan.
“Bahtera negara sedang belayar dalam arus ketidakpastian. Oleh itu, yang amat diperlukan sekarang adalah seorang pemimpin yang arif pasal hal-hal ekonomi dan kewangan yang juga berwibawa dan berwawasan,” tambah beliau.