Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi
Fadzil berdoa agar tiada penduduk di kawasan itu yang terkena jangkitan virus
Covid 19 kerana baru-baru ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr
Zulkifli Mohamad al-Bakri pernah melakukan lawatan di kawasan berkenaan.
Menurut Fahmi, Dr Zulkifli hadir ke
Lembah Pantai pada 26 September lalu untuk satu program zakat di Program
Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria.
"Saya difahamkan semua yang
hadir program tersebut telah atau akan dipanggil untuk buat saringan.
"Kepada yang hadir program
tersebut, sila beri kerjasama maksima, dan sila patuhi sepenuhnya arahan
kuarantin di rumah.
"Saya doakan semua warga Lembah
Pantai dilindungi dari Covid 19," katanya dalam satu kenyataan di
Facebook.
Dr Zulkifli menghadiri satu program zakat di PPR Pantai Ria
baru-baru ini
Sebelum ini, dalam akaun Twitternya
malam tadi, Fahmi berkata kes Dr Zulkifli menjadi 'bukti paling kukuh'
keputusan untuk tidak mewajibkan saringan dan kuarantin bagi yang pulang dari
Sabah sebelum 27 September adalah keputusan yang tidak berasaskan bukti sains
perubatan dan tidak betul.
"Malah saya berpandangan bahawa
keputusan membenarkan mereka yang pulang dari Sabah mulai 27 Sept dan diuji
negatif di KLIA, KLIA2 untuk potong gelang pink - juga adalah keputusan yang
tidak berasaskan fakta sains perubatan, dan tidak betul.
"Ia juga keputusan yang
salah," katanya.
Netizen di laman sosial menyifatkan
dengan pergerakan Dr Zulkifli ke banyak lokasi sebelum beliau disahkan positif
Covid 19 maka akan terbentuk satu lagi kluster baharu, iaitu kluster menteri.
Dr Zulkifli sebelum ini dilaporkan menghadiri pelbagai program
di lima negeri sejak beliau kembali dari Sabah.