ABIM gesa kerajaan PN lanjutkan moratorium pinjaman

 

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) melanjutkan tempoh moratorium pinjaman bank yang berakhir pada September lalu.

 Hal itu kerana situasi gelombang kedua pandemik Covid 19 yang mungkin menyaksikan sekali lagi negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan melumpuhkan ekonomi rakyat.

 "Walaupun Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengatakan kerajaan tidak bercadang untuk menguatkuasakan semula PKP dalam pengumuman yang dibuat, namun rakyat tetap bimbang berdasarkan kepada perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan di Kedah serta Sabah yang menyaksikan kenaikan ketara kes Covid-19.

 "ABIM melihat kebimbangan ini berasaskan kepada tekanan ekonomi yang dirasai rakyat semasa perlaksanaan PKP lalu.

 "Antara kesannya ialah ramai yang hilang pekerjaan sepanjang PKP. Rakyat masih lagi bergelut untuk memulihkan aktiviti mereka

 "Justeru, sebagai langkah awal menangani keresahan rakyat terbanyak, ABIM menggesa supaya kerajaan berunding dengan pihak bank untuk dilanjutkan moratorium pinjaman bagi meredakan keresahan rakyat," kata pertubuhan itu dalam satu kenyataan.

 


Menurut kenyataan itu lagi, penangguhan bayaran balik akan membolehkan rakyat 'bernafas' dalam suasana yang amat menekan ketika ini.

 Lanjuran moratorium juga, menurut ABIM, akan memotivasi rakyat untuk memutuskan rantaian Covid 19 dengan tidak melakukan aktiviti atau pekerjaan yang boleh memudahkan virus maut itu merebak.

 "Menerusi pelanjutan moratorium ini, setidaknya ia akan memberi masa untuk aktiviti ekonomi rakyat dipulihkan semula di samping sesuai untuk menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang berleluasanya Covid-19 di negara ini.

 "Tindakan moratorium seharusnya dijadikan imbalan kepada pengorbanan yang ditunjukkan rakyat yang sedaya upaya mematuhi SOP ditetapkan walaupun ia memberikan kesan kepada mata pencarian mereka dan aktiviti sosio-ekonomi harian," kata kenyataan itu lagi.

 Pandemik Covid 19 gelombang kedua dikhuatiri akan menyebabkan banyak negeri terjejas sekiranya kerajaan melaksanakan PKPD. Biar pun tidak seburuk PKP namun PKPD dijangka akan menjejaskan ekonomi di beberapa negeri yang mana jumlah kes Covid tinggi.

 


No comments: