Bolehkah kita harapkan lagi demokrasi?- FAISAL TEHRANI

 

Kadang-kala saya meragui demokrasi. Kadang-kala.

Ini kerana demokrasi – satu perlumbaan – meletakkan pemimpin yang betul, benar, dan berkhidmat tidak selalunya menjadi begitu. Sebagai contoh, separuh lebih sedikit pengundi Amerika memilih Donald Trump sebagai presiden. Trump bukan sama sekali model demokrasi meskipun AS itu dianggap rujukan demokrasi. India, negara demokrasi terbesar di dunia memilih parti paling kanan, Bharatiya Janata Party, yang saban detiknya berusaha untuk menafikan hak rakyat dari kaum minor. Padahal tujuan demokrasi ialah majoriti melindungi minoriti.

Demokrasi juga memperdayakan Britain apabila Brexit meletakkan negara itu dalam keadaan canggung dengan Eropah. Thailand kian bernanah oleh demokrasi yang boleh dicelah-celah pelbagai anasir. Hong Kong menginginkan demokrasi tetapi setiap hari wilayah kecil itu mengalami rusuh. Malaysia pula memilih untuk menendang “kleptokrat” dan “pengamal korupsi” pada 2018. Namun demikian segelintir yang dipilih rakyat itu mengkhianat mandat dan bercumbu kembali dengan mereka atas nama konon demokrasi (atau demikerusi).

Demokrasi juga memperdayakan Britain apabila Brexit meletakkan negara itu dalam keadaan canggung dengan Eropah. Thailand kian bernanah oleh demokrasi yang boleh dicelah-celah pelbagai anasir. Hong Kong menginginkan demokrasi tetapi setiap hari wilayah kecil itu mengalami rusuh. Malaysia pula memilih untuk menendang “kleptokrat” dan “pengamal korupsi” pada 2018. Namun demikian segelintir yang dipilih rakyat itu mengkhianat mandat dan bercumbu kembali dengan mereka atas nama konon demokrasi (atau demikerusi).

Shafie Apdal pula ingin “menyelamatkan” demokrasi Sabah tetapi langkahnya itu dikatakan dibunuh oleh politik wang dan hasutan perkauman. Lebih aneh, undi popular Warisan Plus adalah 315,030 (42.06%), manakala pesaingnya GRS yang berjaya membentuk kerajaan pula meraih 311, 621 (41.60%). Hal ini didedahkan oleh Senator Adrian Lasimbang dalam satu ciapan. Menerusi sistem pilihan raya first-past-the-post (FPTP) yang pincang ini, yang kalah memerintah yang menang di Sabah.

Kita akan menyalahkan sesetengah pemilih atau pengundi dalam sistem demokrasi yang jahil. Kerana ada pengundi jahil ini maka Trump dinobatkan sebagai pemimpin. Kerana pengundi jahil ini, Narendra Modi menjadi pemimpin. Juga kerana pengundi jahil, Britain terpinggir dari Eropah. Oleh pengundi jahil maka pelawak, perompak, ketua kongsi, dan penyogok boleh naik atau kekal menjadi pemimpin. Jika begitu apa jadahnya demokrasi kalau ia tidak boleh menolong orang miskin apabila orang miskin memilih untuk memilih penindas mereka kembali? Kenapa orang miskin tetap mengundi mereka yang merompak mereka di siang hari?

Kadang-kala saya meragui demokrasi. Kadang-kala. Tatkala semua di atas berlaku, orang Perancis akan barangkali mengatakan c’est la vie, begitulah lumrah hidup. Tetapi adakah kita akan mengalah dan menyerah begitu sahaja? Begitukah jawapannya yang dapat kita berikan kepada generasi mendatang jika mereka bertanyakan kepada kita, misalnya mengapa kita tidak cukup keras melawan apabila negara kembali direbut oleh penyangak? Andaikan generasi mendatang membawa kencingan di pusara kita dan bukannya bunga. Mereka menyumpah seranah kerana kita terlalu menurut demokrasi, padahal yang tetap disambut ialah demikerusi. Adakah kita boleh percaya yang demokrasi akan menyelamatkan kita?

Sampai bilakah instrumen bernama demokrasi ini akan dipercayai oleh manusia dan akhirnya kita, manusia akan akhirnya percaya sistem ini sebenarnya boleh dieksploitasi untuk agenda golongan tertentu (katakan agenda samseng). Bahawa demokrasi juga akhirnya tidak akan dapat menyelamatkan kita.

Instrumen bernama demokrasi ini ada musuhnya. Pembelian undi dan hasutan perkauman. Di mana-mana negara yang memilih demokrasi sebagai sistem panduan politiknya, dua itu adalah ancaman. Malah mungkin banyak lagi. Jika dua di atas itu dapat dikawal, maka demokrasi akan sihat. Kerenah yang saya sebutkan dalam perenggan awal barangkali dapat dikecilkan.

Salah satu fenomena dalam politik wang ialah saat pengundi dibeli. Menurut Piotr Faliszewski (2009) dalam makalahnya bertajuk “How Hard Is Bribery in Elections?”, pembelian pengundi satu cara memanipulasi undi dan pengundi, agar pilihan raya yang sepatutnya sihat demi tujuan demokrasi, menjadi pilihan raya dengan tujuan demikerusi, dipetik:

“Elections are endangered not only by the organizers but also by the voters (manipulation), who might be tempted to vote strategically (that is, not according to their true preferences) to obtain their preferred outcome. This is not desirable as it can skew the result of the elections in a way that is arguably not in the best interest of the society.”

Frederic Charles Schaffer (2002) dari Massachusetts Institute of Technology dalam kerja akademiknya bertajuk “What Is Vote Buying?” menghujahkan pula pembelian undi ini berjalan dengan pelbagai bentuk. Ia mungkin dilakukan dengan alasan bayaran (pemberian hamper, barangan seperti minuman keras, malah duit secara terangan). Kedua, ia juga dalam bentuk hadiah tanpa sebab seperti contohnya ketika pilihan raya, calon memberikan basikal kepada anak-anak pengundi di kampung. Ketiga, dalam bentuk upah pekerja pilihan raya, yang mana ia dihujahkan sebagai habuan atas khidmat yang diberikan.

Pembelian undi ini tentunya akan menyebabkan calon yang lebih berketerampilan terabai dan yang lebih busuk, malah kadang yang korup akan terpilih ekoran adanya pengundi yang jahil, tidak peduli lantas mudah dibeli.

Dalam keadaan hari ini kita juga melihat pilihan raya atau demokrasi diancam oleh perkauman. Pada 2016 misalnya, Trump menggunakan perkauman untuk memenangi pilihan raya dengan taktik menakut-nakutkan pengundi kulit hitam, Hispanic, dan Asia. Colbert I King menulis untuk Washington Post bertarikh 29 Ogos 2020 menuliskan begini; “Trump has called for his supporters to stand watch at polling places in ‘certain areas,’ a tactic that could be aimed at intimidating and suppressing the votes of African Americans and other minorities”. 

Jadinya, penyokong Trump disuruh mendidihkan suhu perkauman. Dia ingin melakukannya sekali lagi hujung tahun ini. Siapakah yang belajar dari Trump? Kumpulan kanan di Amerika bahkan menggunakan imej Trump sebagai daddy menerusi kempen Save Daddy Trump. Untuk menakut-nakutkan kaum lain dari kulit putih.

Di Côte d’Ivoire pada 2000, pilihan raya presiden negeri kecil itu berlaku tumpah darah, di mana terjadi keganasan yang kemudian mengorbankan lebih 200 orang. Apa yang berlaku ialah pemerintah memanipulasi isu perkauman untuk terus berkuasa. Hal ini disentuh oleh badan hak asasi manusia antarabangsa, Human Rights Watch:

“The 2000 presidential and parliamentary elections in Côte d’Ivoire in October and December were marred by political violence which left over 200 people dead and hundreds wounded. In the months preceding the October presidential and December parliamentary elections, political leaders exploited ethnic divisions to oust rivals, used the state apparatus to repress opponents, and incited hatred and fear among populations which had for decades lived in relative harmony.”

Mahukah kita merenung apa yang berlaku di negara orang agar tidak terjadi di negara kita. Juga, masihkah kita mahu percaya kepada demokrasi jika pemimpin negara boleh memulas isu perkauman untuk terus berkuasa waima orang kecil atau rakyat terkorban sekalipun?

Kita tentu tidak mahu Pilihan Raya ke-15 menjadi seperti di atas tentunya. Kita di Malaysia, pelbagai bangsa ingin mendirikan sebuah nusa yang setara dan adil untuk semua; di atas lunas perlembagaan, dan juga Rukun Negara. Bukan menegakkan agenda satu-satu kaum seperti Melayu-Islam sahaja. Negara ini bukan untuk satu kaum atau satu agama.

Kita tidak boleh bersikap c’est la vie begitu-begitu saja. Sama sekali tidak.

Kadang-kala saya meragui demokrasi. Kadang-kala. Satu hari nanti saya percaya manusia tidak akan lagi mempercayai demokrasi. Waktu itu, kita akan dipimpin oleh seorang pemimpin pilihan langit untuk semesta alam dan sejagat dunia. Dunia akan kembali kepada janji Adam. Bunyinya lelucon dan mungkin ramai yang tidak beragama enggan percaya. Akan tetapi itu lah fitrah, malah lumrah – c’est la vie.

Waktu itu, undi popular akan benar-benar menentukan kelangsungan suatu kepimpinan demi kemanusiaan.

 

No comments: