Kekuatan akar umbi sahaja tak akan selamatkan Umno dari PPBM, kata pemimpin

 

Ahli Umno mengadu parti itu kurang berperanan di Sabah.

PETALING JAYA: Keputusan pilihan raya negeri (PRN) Sabah bulan lalu menunjukkan perlunya Umno membuat perubahan dalaman atau hadapi berisiko dilenyapkan PPBM, menurut seorang pemimpin muda.

Wan Agyl Wan Hassan, ketua penerangan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, berkata ahli parti berhak marah kerana Umno berubah dari menjadi kuasa dominan dalam politik kepada pemain kecil dalam pentadbiran Perikatan Nasional.

“Lebih buruk lagi, PRN Sabah mengecilkan kemenangan pilihan raya Barisan Nasional sebelum ini dan membolehkan PPBM menunggang usaha kita menekankan kegagalan Pakatan Harapan selepas menjadi sebahagian daripada pentadbiran PH,” katanya.

Katanya, dalam politik hari ini orang tidak akan ingat pencapaian masa lalu dan akan tumpu pada prestasi semasa parti politik. Di situlah katanya Umno dan BN “dilupakan”.

“Salah satu sebabnya kerana kepemimpinan gagal merunding perjanjian yang lebih baik untuk kita dalam pakatan besar itu dan kegagalan mereka untuk faham kemahuan akar umbi dan penyokong.

“Kita nampak seperti selesa menjadi ‘adik kecil’ walaupun mempunyai kerusi terbanyak. Kurangnya pandangan jauh dan hala tuju yang strategik dari kepemimpinan semasa menyebabkan kita bermain ikut rentak PPBM.”

Wan Agyl Wan Hassan.

Kenyataan Wan Agyl ini menyusuli teguran pemimpin Umno, Nazri Aziz, agar hubungan antara parti Melayu itu dengan PPBM ditamatkan, dan mendakwa demikianlah kemahuan akar umbi Umno.

Wan Agyl berkata pandangan akar umbi sememangnya penting namun Umno tidak boleh mengukur kekuatan berdasarkan akar umbi semata-mata kerana “politik sudah berubah”.

Memetik contoh DAP, katanya, parti itu berjaya meletakkan ia sebagai parti berbilang kaum walaupun merupakan parti yang didominasi orang Cina. Parti itu mendapat sokongan orang ramai kerana memenangi permainan persepsi, katanya.

“Jumlah keahlian yang besar mungkin berkesan beberapa dekad lalu tetapi di Malaysia hari ini, parti politik semakin kurang penting,” katanya. Orang ramai kini lebih cenderung kepada hujah berdasarkan fakta dan isu yang mempengaruhi kehidupan seharian.

Wan Agyl berkata walaupun ramai ahli Umno mahu parti itu berpisah dengan PPBM, persoalan sebenar ialah sama ada Umno dan BN sudah cukup berubah untuk meraih kepercayaan rakyat dan berdiri sendiri.

“Umno dan BN memerlukan perubahan struktur, ini banyak dibincangkan selepas kita kalah pada PRU-14, tetapi tiada yang konkrit berlaku.

“Bagi saya, kita memerlukan peralihan kepemimpinan, untuk membolehkan perubahan generasi yang sangat diperlukan dalam parti. Parti ini perlu berkembang menjadi sebuah organisasi idea, platform memupuk ahli, penyokong, dan rakyat yang berfikir.”

Umno harus menjadi sebuah parti yang membolehkan setiap segmen keahlian dan masyarakat umum membincangkan dan mengembangkan dasar yang baik untuk menangani isu yang melanda negara dan dibelenggu rakyat dengan berkesan.

Malah sebagai sebahagian daripada kerajaan, para pemimpin Umno perlu menyuarakan isu sebenar dan menekan kerajaan untuk membuat dan melaksanakan dasar yang lebih baik berdasarkan bukti dan bukannya retorik.

“Tanpa kemahuan politik untuk benar-benar berubah dari dalam ke luar, perbincangan dan strategi tanpa henti untuk menjadikan Umno lebih baik akan jadi sia-sia.”

Katanya, pemimpin dan ahli Umno mesti ingat PPBM ditubuhkan untuk menggantikannya.

“Sekiranya kita tidak bertindak sekarang, objektif untuk melenyapkan Umno dari politik Malaysia mungkin akan tercapai dan lebih buruk lagi, kita tidak sedar.”



No comments: