Mengapa susah terima Anwar, adakah Muhyiddin cemerlang?


Ketidaktentuan politik yang berterusan selepas Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan telah mempunyai cukup majoriti untuk mengambilalih kuasa sebagai Perdana Menteri (PM) ke 9 pada Selasa lalu menatijahkan satu persoalan, mengapakah begitu sukar untuk menerima Anwar sebagai PM?

 Persoalan itu dilontarkan oleh Profesor Dr Razali Nawawi dalam forum anjuran Gabungan Reformis Malaysia dari Kediaman Menteri Besar Negeri Sembilan, malam tadi.

 Bekas Presiden ABIM kedua dan merupakan teman rapat Anwar itu bertanya kepada hadirin, adakah kerana Muhyiddin atau PM sebelum ini cemerlang menyebabkan jawatan PM sukar diberi kepada Anwar?

 "Apakah PM sekarang ini Muhyididn cemerlang? Berapa bulan dia jadi PM? Saya tanya rakyat adakah merasa tenang, yakin?

 "Saya di Bangi penuh dengan doktor, profesor, CEO. Bila saya tanya adakah Malaysia selamat. Mereka kata tidak. (Malah) ada yang kata jangan esok kita (penjawat awam) tidak dapat pencen (kerana negara kekurangan wang).

 "Saya nak tanya mengapa sekarang pelajar tak mahu masuk universiti? Mengapa?

 "Masuk universiti 3 tahun, kalau mereka ambil kursus (kemahiran) tiga bulan, keluar dapat kerja.

 "Golongan belia tahu masa depan mereka sangat-sangat tidak jelas. Banyak syarikat sekarang buang pekerja. Apakah nasib kita di bawah pimpinan sekarang?" tanyanya.

 Menurut bekas Dekan Kulliah Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu, sekiranya kerajaan yang ada tidak mampu memberi kemakmuran kepada rakyat maka seharusnya jawatan PM diserahkan kepada Anwar bagi membina keyakinan antarabangsa dan memulihkan ekonomi.

 Beliau menempelak sikap meneruskan amalan PM sebelum ini, Tun Mahathir yang tidak mahu melantik Anwar sebagai penggantinya. Sebaliknya, Mahathir memilih Abdullah Badawi kemudian menjatuhkannya, menaikkan Najib dan menjatuhkannya.

 Dr Razali menegaskan Anwar amat dikenali oleh musuh-musuh politiknya. Oleh sebab itu beliau dikenakan pelbagai tuduhan di mahkamah dan dilabel dengan pelbagai label yang merosakkan imej.

 "Mahathir tahu siapa Anwar, Abdullah Badawi tahu siapa Anwar. Mereka tahu kemampuan Anwar.

 "Tetapi mengapa mereka nak sekat Anwar dari naik ke atas dengan melemparkan bermacam-macam tohmahan. Tiada seorang yang lebih hebat dari Anwar yang dikenakan tohmah yang pelbagai.

 "Saya kaji, kalau Presiden Jamal Abdel Nasir (Mesir) satu tuduhan saja terhadap dia. Tuduhan Jamal ini seperti Firaun.

 "Tetapi Anwar bermacam-macam. Liberal, berbagai wajah (perisik Barat). Rakyat boleh terimakah kalau dikatakan Anwar liberal. Liberal ini ketepikan agama.

 "Saya kagum dengan Anwar kerana dia bukan mengaji agama tetapi dia mampu bertahan di dalam penjara ISA di Kamunting, 2 tahun. Saya hantar buku 'Learning Arabic' masa tu. Dari situ dia boleh baca Ilhya Ulumuddin dalam bahasa Arab.

 "Kalau kita kata Anwar liberal, maka ia tuduhan yang dibuat oleh orang yang jahil atau jahat. Saya minta seluruh rakyat di luar berilah penilaian terhadap Anwar secara adil, bandingkan dengan lain-lain (tokoh)," katanya lagi.

 

No comments: