Sampai bila Anwar hanya jadi bakal PM?

 

Sampai bila Anwar hanya jadi bakal PM?

TIGA hari sebelum Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah ke-16, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat kejutan apabila mengadakan sidang media pengumuman beliau mempunyai majoriti ahli Parlimen untuk mengetuai Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan menggantikan Perikatan Nasional (PN).

Bukan lebih seorang dua, tetapi jumlah yang sukar dicabar lagi. Justeru, Anwar bersedia menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Muta’in Billah untuk mempersembah senarai majoriti itu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadli Shamsuddin mengesahkan bahawa Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima Anwar menghadap baginda.

Walau bagaimanapun, pertemuan penting tersebut terpaksa ditangguhkan kerana Al-Sultan Abdullah masih berada di wad Institut Jantung Negara (IJN). Baginda dimasukkan ke IJN pada 21 September lalu akibat keracunan makanan, dan rawatan intervensi susulan penimejan MRI sehari kemudian. MRI tersebut menunjukkan kecederaan yang dialami baginda ketika bersukan.

Khamis lalu, Ahmad Fadli menyatakan Anwar perlu menunggu dalam masa seminggu untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Empat hari kemudian, Istana Negara mengeluarkan kenyataan bahawa Al-Sultan Abdullah telah selamat menjalani rawatan keracunan makanan, dan intervasi, serta dinasihatkan menjalani rawatan susulan di IJN. Baginda dijangka keluar dari IJN dalam masa terdekat.

Perjalanan Anwar untuk menjadi Perdana Menteri kelihatan terhalang lagi. Semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri sementara selepas kejatuhan Kerajaan PH, hampir semua pihak merasakan beliau akan menjadi Perdana Menteri Malaysia yang kelapan. Namun demikian, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengangkat sumpah jawatan tersebut.

Kejutan pengumuman Anwar tersebut ditambah oleh pengesahan Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa ada ahli Parlimen parti pimpinannya turut menyokong Ketua Pembangkang itu.

Kegeringan Al-Sultan Abdullah ialah takdir Allah SWT, dan tidak dapat dielakkan.

Namun demikian, ada yang amat wajar diabaikan, iaitu kenyataan pakar Perlembagaan, Dr Shamrahayu Ab Aziz bahawa hanya Perdana Menteri yang layak menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan kepercayaan majoriti. Kenyataan Dr Shamrahayu itu mengundang reaksi ahli politik, dan peguam.

Peguam Lim Wei Jiet, menerusi akaun Twitternya menyifatkan kenyataan Shamrahayu tiada asas undang-undang. Jelasnya, dalam kes Mahkamah Persekutuan 2010 ketika Mohammad Nizar Jamaluddin mencabar pelantikan Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak, isu kehilangan majoriti boleh ditentukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Wei Jiet meminta Shamrahayu membaca kes Mahkamah Persekutuan Nizar v Zambry [2010] 2 MLJ 285 berhubung isu kehilangan majoriti boleh ditentukan oleh representasi Adun (Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat ialah ahli Parlimen).

Oleh yang demikian, tegas Wei Jiet, tiada halangan bagi Anwar bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong.

Wei Jiet turut merujuk hal yang sama berlaku di Kedah pada Mei lalu ketika wakil Pas, Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia menghadap Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah untuk menyatakan PH hilang majoriti.

Beliau bertanya mengapa ketika itu Shamrahayu tidak menegaskan hanya Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Utama Mukhriz Mahathir boleh menghadap Sultan Aminul Karim. Ternyata Shamrahayu hanya mengampu dan menyokong kerajaan pintu belakang/tepuk atap.

Shamrahayu juga tidak cerdik, dan tidak logik apabila menyatakan jika Anwar memiliki akaun bersumpah ahli Parlimen sekalipun, itu tidak boleh dibawa kepada Al-Sultan Abdullah kerana jawatan Perdana Menteri belum dikosongkan.

Jelas Shamrahayu, Anwar patut memaklumkan perkara itu kepada Muhyiddin agar Perdana Menteri dapat menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk meletakkan jawatan, atau menasihatkan pembubaran Parlimen.

Anwar dilihat hanya mempunyai AMANAH dan DAP sebagai rakan politik yang setia selepas kejatuhan PH di Putrajaya.

‘Menempah maut’

Mengapa pula ditunjukkan kepada Muhyiddin? Masakan Muhyiddin mahu meletakkan jawatan. Membubarkan Parlimen seperti ‘menempah maut’.

Mengenai pendapat Shamrahayu bahawa Anwar perlu menggunakan Dewan Rakyat melalui usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin, Wei Jiet bertanya mengapa dia membisu sewaktu Langkah Sheraton.

Soal Langkah Sheraton itu turut disentuh oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil. Beliau membidas kenyataan Shamrahayu, dan bertanya mengapa Shamrahayu membisu sahaja ketika tindakan yang didalangi Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali di Petaling Jaya itu.

Pada 23 Februari lalu, negara menyaksikan kemelut politik seminggu selepas wujudnya Langkah Sheraton sehingga menyaksikan kejatuhan PH, dan peletakan jawatan Dr Mahathir.

Yang di-Pertuan Agong kemudian mengadakan pertemuan dengan 222 ahli Parlimen dua hari kemudian bagi melihat calon Perdana Menteri mana yang mendapat sokongan majoriti.

Enam hari kemudian, Muhyiddin pula menghadap Agong, ketika Dr Mahathir masih menggalas jawatan Perdana Menteri sementara bagi menyatakan jumlah sokongan majoriti yang diperolehnya.

Timbalan Presiden Pas, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan tiada ahli Parlimen Pas menyokong Anwar. Beliau dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah tidak mempercayai pengakuan Anwar itu, dan mahu melihat senarai sokongan tersebut.

Mereka tidak berhak. Melihatnya atau tidak, mereka tiada kuasa apa pun. Hanya Yang di-Pertuan Agong yang wajar melihatnya, dan membuat keputusan.

Usaha Anwar mendapatkan sokongan membentuk kerajaan memang disokong penuh oleh Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP). Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyatakan sokongan masing-masing.

Walau bagaimanapun, kelmarin perjalanan Anwar ke kerusi Perdana Menteri kembali samar-samar apabila AMANAH, dan DAP, rakan komponen utama PH dikatakan menolak kerjasama Ahli Parlimen Port Dickson itu dengan ahli Parlimen Umno.

Walaupun ada benarnya sanggahan itu kerana ahli Umno ialah musuh utama politik, tetapi dari mana lagi Anwar akan beroleh sokongan? Memang tidak wajar bersekongkol dengan pihak musuh untuk membentuk kerajaan, meskipun ada ahli Umno yang baik.

Namun begitu, pendirian telah ditegaskan, iaitu tidak akan berkompromi dengan Umno, dan ahlinya. Jika baik, mengapa mereka masih dalam Umno?

Ada yang melihat sokongan Umno kepada Anwar semakin jelas kerana ketidakpuasan hati dalam isu pelantikan Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Mereka tentu mengharapkan keuntungan jika Anwar menjadi Perdana Menteri. Oleh kerana berjasa, mereka pasti mahukan pembalasan daripada Anwar. Inilah yang tidak digemari AMANAH, dan DAP.

Kedengaran juga sebelum ini bahawa AMANAH dan DAP tidak menyokong Anwar, sebaliknya Mahathir sebagai Perdana Menteri. Setelah pendirian itu diubah, timbul pula isu sokongan ahli Parlimen Umno terhadap Anwar.

Mesyuarat Majlis Presiden PH pada 29 September yang dipengerusi oleh Anwar, bersetuju dengan usaha membentuk kerajaan baharu. Tegas majlis tersebut, usaha mengembalikan mandat rakyat itu memerlukan iltizam, dan komitmen menegakkan keadilan, membanteras amalan rasuah, dan memperbaik institusi, termasuk badan kehakiman.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution; Setiausaha Agung AMANAH, Datuk Dr Hatta Ramli, dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke.

Walau bagaimanapun, tidak jelas adakah sokongan itu jika tiada ahli Parlimen Umno. Jadi, selain menunggu hari Anwar dapat menghadap Yang di-Pertuan Agong, kita juga menanti penjelasan lanjut Majlis Presiden PH. Adakah Anwar memang ditakdirkan tidak akan menjadi Perdana Menteri Malaysia atau sebaliknya?


No comments: