Skandal tanah rizab Melayu dipindah milik kepada non muslim didedah!

 

Skandal tanah rizab Melayu dipindah milik kepada non muslim didedah!

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Perak mendedahkan kawasan seluas 649.19 hektar tanah berstatus tanah rizab Melayu di Mukim Sitiawan, Manjung diberikan hak milikan kepada bukan Melayu.

Pengerusi Penyelarasnya, Datuk Hamidah Osman berkata, perkara itu dikesan melalui pencarian rasmi yang dibuat di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Perak.

Daripada keluasan itu, beliau berkata, sebanyak 317 lot telah dipecahkan dan diberi milikan bagi tujuan pertanian untuk tanaman getah serta kelapa sawit.

“Ini merupakan satu kesalahan kerana tanah rizab Melayu tidak boleh dimiliki oleh orang bukan Melayu. Pindahan milik tanah rizab Melayu kepada bukan Melayu bertentangan dengan Enakmen Rizab Melayu Negeri-Negeri.

“Kita minta polis untuk menyiasat perkara ini sama ada berlaku sebarang salah laku terhadap pemberi milikan lot-lot tanah rizab Melayu ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis berhubung isu tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Hamidah berkata, mana-mana tanah yang dimansuhkan status rizab Melayu mesti digantikan dengan keluasan sama dengan serta-merta.

Menurutnya, jika perkara itu tidak berlaku, pembatalan tanah rizab Melayu itu adalah tidak sah berdasarkan Perkara 89 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, katanya, laporan sama akan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan dijalankan untuk melihat sama ada berlaku salah guna kuasa atau salah laku oleh Pejabat PTG terhadap pemberian hak milik tanah tersebut.

“Kes tersebut juga akan dicabar di mahkamah untuk memastikan status tanah rizab Melayu tersebut kekal dan boleh diambil semula,” katanya.

Hamidah turut meminta penjelasan daripada kerajaan negeri mengenai lokasi tanah gantian yang dibuat ke atas kawasan yang telah dimansuhkan status sebagai tanah rizab Melayu.

Sementara itu, Pengarah PTG Perak, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip ketika dihubungi pemberita memaklumkan bahawa pihaknya akan membuat semakan berhubung isu yang dibongkarkan Hamidah itu.



No comments: