KENYATAAN MEDIA KERAJAAN DIGESA BATAL HASRAT MENUBUHKAN TABIKA ELIT

 

KENYATAAN MEDIA

KERAJAAN DIGESA BATAL HASRAT MENUBUHKAN TABIKA ELIT

Kami merujuk kepada cadangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) bagi mewujudkan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) elit yang diumumkan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar baru-baru ini.

Pihak Kerajaan digesa menolak cadangan ini kerana ia akan melebarkan kesenjangan di antara golongan B40 dan T20 yang boleh menyebabkan keretakan perpaduan masyarakat.

Malaysia seharusnya melangkah ke arah pendemokrasian pendidikan awal kanak-kanak yang dapat memberikan kesaksamaan terhadap pendidikan yang berkualiti.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pendidikan awal kanak-kanak atau ECD (early child development) amat penting kerana ia merupakan asas kritikal dalam pembangunan dan kejayaan seseorang.

Menurut WHO, wawasan strategik dalam pendidikan awal kanak-kanak perlu menitik beratkan kualiti persekitaran yang membina, termasuklah pendekatan hidup dan pendidikan yang melibatkan ibu bapa, penjaga, keluarga dan masyarakat.

WHO berpendapat Kerajaan dan masyarakat sivil harus bekerjasama dengan keluarga bagi menyediakan akses yang saksama kepada semua kanak-kanak kepada persekitaran yang berkualiti lagi membina.

TABIKA elit yang dicadangkan oleh KEMAS itu adalah bertentangan dengan aspirasi ini dalam pendidikan awal kanak-kanak.

Aspirasi pendemokrasian pendidikan awal kanak-kanak ini telah dipelopori sebelum ini dengan rancangan menggabungkan institusi-institusi pendidikan awal kanak-kanak melalui penubuhan satu jawatankuasa khas.

Rancangan ini telah dimaklumkan kepada Dewan Rakyat pada November 2018 bahawa Kabinet telah meluluskan pembentukan jawatankuasa khas ini yang akan berperanan mengawal selia secara bersepadu penubuhan dan operasi institusi pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia.

Dato’ Seri Dr Wan Azizah binti Wan Ismail

1 OKTOBER 2020

 

No comments: