Teruskan perjuangan konsisten PH tegak keadilan, lonjak integriti

 

Kenyataan Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) semalam yang menegaskan bahawa walau apa sekali pun langkah yang diambil dalam mengembalikan mandat rakyat, iltizam dan komitmen terhadap perjuangan menegakkan keadilan, membanteras amalan rasuah, dan memperbaiki institusi termasuk badan kehakiman tidak boleh dikompromi, mencerminkan perjuangan konsisten gabungan tersebut demi masa depan negara ini.

Penegasan ini antara lain membuktikan keazaman dan keutamaan berterusan PH untuk memerangi gejala rasuah di negara ini, selaras dengan usaha-usaha yang telah pun dilaksanakan gabungan itu semasa mentadbir negara sebelum ini. Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan Kerajaan PH dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa serta mengukuhkan institusi penguatkuasaan mentadbir negara.

Untuk rekod, Malaysia melonjak ke kedudukan 51 daripada 180 negara bagi Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) untuk tahun 2019. Skor Malaysia juga meningkat sebanyak 53 daripada 100 mata dalam tinjauan CPI, peningkatan daripada 47 mata yang diperoleh pada tahun sebelumnya.

Peningkatan kedudukan global itu dilaporkan adalah disebabkan tindakan segera diambil kerajaan PH menangani skandal dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International, Felda dan Tabung Haji selepas mengambil alih pentadbiran.

Dalam masa sama, penyertaan kaum wanita dalam Kabinet Kerajaan PH dilihat lebih baik dengan lima menteri wanita, termasuk seorang Timbalan Perdana Menteri, dan empat Timbalan Menteri wanita. Bukan itu sahaja, beberapa jawatan tinggi kerajaan juga diisi oleh golongan wanita sekali gus melonjakkan kedudukan wanita dalam kedudukan pembuat dasar jentera pentadbiran.

Sehubungan itu, komitmen sepertimana ditegaskan oleh Majlis Setiausaha PH semalam merupakan sesuatu yang datangnya secara semula jadi atau organik dalam perjuangan gabungan tersebut sejak awal lagi. Ia merupakan sebuah gabungan yang membawa suara rakyat Malaysia. Suara rakyat Malaysia yang mahukan sebuah negara yang adil, bebas rasuah dan diperkasa institusi-institusinya.

Pendirian PH yang konsisten ini menunjukkan betapa seriusnya gabungan itu dalam mengangkat keadilan, integriti dan pentadbiran baik. Sebarang usaha mengembalikan mandat rakyat perlu berpaksikan kepada nilai-nilai ini. Keutamaan yang tertinggi seharusnya diberikan kepadanya.

Seterusnya, kita juga pastinya mahu apabila kembalinya mandat rakyat ini kelak, usaha-usaha membanteras rasuah dan salah guna kuasa yang sedang dilaksanakan PH namun terhenti ekoran apa yang disebut-sebut sebagai ‘Langkah Sheraton’ diteruskan oleh kerajaan.



No comments: